SUNDUK
PULAU JAMBONGAN
oleh: Norlaila Binti Baharuddin
Sunduk
dan Sufi
Islam telah bertapak di Pulau Jambongan sejak nenek moyang kaum Bajau
menghuni Pulau Jambongan. Hal ini dibuktikan melalui kesan peninggalan sunduk lama kepunyaan saudara kembar
yang bertanggungjawab dalam pembukaan Pulau Jambongan. Sunduk-sunduk di Pulau Jambongan berusia lebih 100 tahun. Islam
membawa satu aliran ajaran yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Cabang
ajaran itu dikenali sebagai sufi. Ilmu sufi adalah kefahaman terhadap diri.
Ragam bentuk sunduk mengambil
olahan daripada ajaran sufi. Sunduk
melambangkan khalifah iaitu sifat ketua yang dianugerahkan oleh Pencipta kepada
manusia. Setiap individu mempunyai ragam hidup tersendiri yang diberikan khas
oleh Pencipta untuk dinikmati semasa hayatnya. Ragam hidupnya sentiasa berbeza
daripada satu dengan lain. Hal ini menyebabkan sunduk di Pulau Jambongan tidak mempunyai persamaan antara satu
dengan lain. Setiap satu sunduk unik
dengan ragam hiasannya. Dalam Islam diajarkan bahawa wajib percaya kepada alam
ghaib. Sesuatu yang ghaib memang ada dan kita pasti akan kembali pada alam itu.
Kedudukan sunduk yang menegak
merupakan konsep arah kembalinya manusia kepada Yang Satu. Segmen atas sunduk yang berbentuk tajam dan menghala
ke atas melambangkan sebuah tempat yang infiniti.
Saiz
Sunduk
Setiap manusia mesti melalui proses pertumbuhan saiz tubuh badan. Secara
logiknya, seorang bayi yang baru lahir bersaiz kecil. Seiring dengan peningkatan
usia dan perkembangan otot-ototnya, saiz tubuh seorang bayi akan membesar dan
menempuh peringkat kanak-kanak. Pada peringkat remaja pula, pertumbuhan saiz
tubuh badan terus meningkat dan akhirnya akan ke peringkat dewasa dan tua.
Perubahan fasa kehidupan manusia secara evolusi inilah yang menyebabkan saiz sunduk di Pulau Jambongan berbeza-beza.
Saiz sunduk memainkan peranan
penting sebagai pengenalpastian kedudukan individu di dalam masyarakat Bajau
Suluk. Bentuk sunduk merupakan
sesuatu bentuk yang bersifat nyata. Saiz sunduk
mempengaruhi visual. Sesuatu yang bersifat besar dari aspek saiz serta dominann
secara tidak langsung memberikan kesan kemegahan.
Secara umumnya, ketinggian sunduk
menunjukkan peringkat usia. Kubur seorang bayi ditandakan dengan sunduk yang berketinggian lapan inci
hingga sekaki manakala sunduk kubur
remaja lelaki berketinggian antara satu kaki hingga dua kaki. Ketinggian sunduk kubur jenazah dewasa lelaki atau
perempuan pula ialah tiga kaki atau lebih.
Sunduk remaja lelaki
Sunduk dewasa
Bahan
Sunduk
Masyarakat Pulau Jambongan sangat prihatin dalam penggunaan bahan untuk
menghasilkan sunduk. Bagi mereka,
sesuatu yang dihasilkan untuk menjadi kenangan atau hadiah terakhir mestilah
bersifat kekal. Kekal yang dimaksudkan ialah keupayaan bahan sunduk untuk bertahan lama dan bertahan
dengan cuaca setempat. Oleh hal demikian kayu bulian merupakan bahan yang mampu
bertahan dengan tempoh masa dan cuaca setempat. Boleh dikatakan bahawa semua sunduk di Pulau Jambongan menggunakan
kayu bulian. Kayu bulian juga melambangkan status masyarakat Bajau Pulau
Jambongan. Kayu bulian bukan sahaja digunakan untuk sunduk tetapi turut digunakan untuk seni binaan setempat sejak
dahulu lagi. Istilah “bulian” berasal daripada perkataan “berlian” yang
bermaksud berharga. Sunduk dan kayu
bulian sangat sinonim dengan masyarakat Pulau Jambongan. Malah kayu bulian
digunakan oleh kebanyakkan masyarakat Bajau di Sabah.
Motif
dan Corak Sunduk Lelaki
Ukiran motif yang terdapat pada satah sunduk adalah berkaitan dengan persekitaran, budaya dan kehidupan
Pulau Jambongan. Adaptasi dengan fauna yang terdapat di persekitaran serta
kelengkapan berkaitan dengan adat yang digabungkan dan digunakan sejak
turun-temurun untuk menghasilkan formasi corak yang menghiasi satah sunduk. Olahan dan corak ukiran pada
sunduk menggambarkan pegangan adat yang kuat dalam masyarakat tersebut. Ragam
reka coraknya berlainan daripada jenis corak suku Bajau yang lain. Malah ragam
coraknya juga tidak mempunyai persamaan dengan ragam corak batu nesan orang
Melayu. Walaupun subjek motif dalam adat Melayu hampir serupa seperti bunga
cengkih, pucuk daun, daun keladi dan daun sireh. Motif yang digunakan mempunyai
kriteria tersendiri.
Antara motif sunduk lelaki yang terdapat di Pulau Jambongan termasuklah:
Sunduk
dengan ukiran loceng
a.
Loceng
Ukiran loceng daripada kayu yang
terdapat di hujung segmen atas sunduk melambangkan
pangkat seseorang dalam masyarakat. Terdapat dua buah sunduk yang terbesar di Pulau Jambongan dikenali sebagai sunduk saudara kembar yang membuka Pulau
Jambongan. Ukiran loceng melambangkan status “abang” daripada kembar bersaudara
itu. Motif loceng melambangkan kesiagaan dalam apa-apa juga keadaan.
Sunduk dengan ukiran
layar kuncup
b.
Layar Kuncup
Pengembaraan sebuah bahtera
memerlukan sebuah layar dan sebatang tiang. Permukaan yang menggelembung
menunjukkan sebuah layar yang kemas digulung dalam keadaan kuncup. Motif layar
diukir pada sunduk.
Sunduk
dengan ukiran daun sireh
c.
Sireh Kembar dan Daun Sirih
Sireh merupakan antara bahan
peralatan yang sering digunakan dalam adat masyarakat Bajau Suluk Pulau
Jambongan. Sireh dalam kehidupan masyarakat Bajau Suluk digunakan dalam
perubatan, makanan, majlis keramaian dan bahan kegunaan harian. Motif daun sireh
yang disusun rapi seperti di dalam tepak sireh yang dijadikan hantaran dalam
majlis perkahwinan. Daun sireh juga menggambarkan yang si mati berkemungkinan
merupakan seorang yang gemar makan sireh sewaktu hidupnya.
d.
Bunga Cengkih
Bunga cengkih menghasilkan sejenis
herba yang mengeluarkan haruman yang menyegarkan. Dalam masyarakat Bajau Pulau
Jambongan, cengkih digunakan dalam beberapa jenis makanan tradisi. Bunga
cengkih juga sebahagian bahan yang digunakan dalam rokok. Motif bunga cengkih
melambangkan aroma.
e.
Pucuk Muda
Motif pucuk muda merupakan pucuk
boleh dimakan yang menjadi sumber bahan makanan penting dalam kehidupan harian.
Motif ini berkait dengan pucuk yang bersifat baharu. Motif ini menyampaikan
maksud yang tersirat iaitu “penghidupan yang baharu”.
f. Cangkuk Layar
Pada bahagian pangkal silinder sunduk terbentuk motif cangkuk layar.
Cangkuk layar digunakan untuk mengikat layar kapal di pangkal tiang layar.
Motif ini melambangkan kesinoniman masyarakat Bajau dengan pelayaran.
Sunduk dengan
ukiran kelopak bakau
g.
Kelopak Bakau
Kayu bakau dan masyarakat Bajau mesti
bersatu. Hal ini demikian kerana kebanyakan seni bina masyarakat Bajau
menggunakan kayu bakau. Malah kayu bakau banyak memberikan sumbangan yang besar
dalam kehidupan mereka. Kayu bakau digunakan untuk memasak dan membuat pelantar
rumah, reban ayam dan sebagainya. Motif ini terletak di bahagian dasar sunduk kerana mengikut kesesuaian sifat
kayu bakau yang menjadi penyokong dalam kehidupan masyarakat Bajau.
Motif
dan Corak Sunduk Perempuan
Corak pada permukaan sunduk perempuan
bersifat simetrikal dan ragam olahannya lebih bersifat organik. Kebanyakan
sunduk perempuan diadaptasikan daripada flora dan fauna yang terdapat di persekitaran
kehidupan masyarakat Bajau Pulau Jambongan. Corak yang simetrikal ini
melambangkan “keseimbangan dalam kesempurnaan” kejadian seseorang manusia.
Sifat perempuan yang lembut ditafsirkan dengan ukiran “lemah gemalai”
garisan organik dalam olahan motif dan coraknya. Kedudukan corak sunduk hanya berfokus pada bahagian atas
sunduk manakala bahagian tengah sunduk dibiarkan kosong. Perletakan
corak adalah seperti sebatang pokok yang rimbun.
Kedudukan
corak sunduk perempuan
Antara motif sunduk perempuan
termasuklah:
a.
Kacip Pinang
Motif kelakati atau kicap pinang melambangkan kesegaran dan identiti
seorang perempuan.
b.
Bunga Cengkih
Motif bunga cengkih melambang benih
zuriat kandungan perempuan yang tiada pada seorang lelaki.
c.
Silang Emas Pinang Muda
Motif Silang Emas Pinang Muda
melambangkan kesuburan zuriat dan pengharapan terhadap ketinggian darjat
zuriat-zuriatnya. Doa ini bukan sahaja semasa hayatnya tetapi sehingga ke liang
lahad tanda kasih seorang ibu.
d.
Bukud
Motif bukud atau punggung labuh merupakan lambang keindahan seorang
perempuan yang sentiasa reda. Seorang isteri semasa hayatnya wajib mematuhi
suami seperti yang diwajibkan dalam agama Islam. Motif ini diperlihatkan melalui
lentuk garisan yang menunduk ke bawah.
e.
Teratai Kuncup
Teratai Kuncup melambangkan budi
bicara seorang perempuan yang bersopan santun dalam melahirkan kata-kata.
Peletakan motif Teratai Kuncup di bahagian dasar sunduk melambangkan kata-kata halus daripada seorang perempuan itu
yang menjadi sumber tenaga dalam kejayaan.
f.
Motif Rambut
Motif ngingkot tekok diadaptasikan daripada rambut yang didandan menjadi
tocang. Kaum wanita Bajau Pulau Jambongan menyimpan rambut sebagai mahkota.
Rambut perlu dijaga kerana penjagaannya akan menyerikan penampilan seseorang perempuan.
Ikatan rambut yang panjang menjadi penghias gaya mendandan ketika itu.
Teknik
dan Gaya Ukiran
Ukiran kayu dibuat dalam pelbagai
teknik. Walau bagaimanapun, penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung
kepada kebolehan dan kemahiran kayu. Terdapat dua teknik ukiran sunduk iaitu tebuk timbul dan tebuk
terus manakala ukiran sunduk juga terdiri daripada bentuk bujang, lengkap dan
pemidang.
Peralatan
dan Kelengkapan Mengukir
Peralatan mengukir kayu yang lengkap
adalah penting. Antara kelengkapan mengukir termasuklah pahat, pemukul kayu,
batu asah, ijuk, pensil, jangka lukis, pita pengukur dan kain perca. Kegunaan
setiap peralatan ini berbeza. Pahat pengukir kayu digunakan untuk membentuk
corak motif pada permukaan kayu.
Sunduk Pulau Jambongan mempunyai identiti tersendiri dalam
kelompoknya. Sunduk merupakan ekspresi ideologi pemikiran yang tulen. Ketulenan
ragam hias sunduk masyarakat Bajau
Suluk Pulau Jambongan terserlah daripada permulaan falsafah dan pemilihan bahan
kepada penghasilan corak dan motif di permukaan sunduk.
Ragam hias sunduk Pulau
Jambongan merupakan penceritaan mengenai keperkasaan dan keagungan masyarakat
Bajau dalam menilai keindahan yang dianugerahi Allah. Kisah manusia dan
pengembaraan menjadi motif utama sesebuah sunduk
masyarakat Bajau Pulau Jambongan. Masyarakat Bajau amat terkenal dengan kisah
perjalanan hidup mereka sebagai pengembara laut yang disebut sea gypsy oleh Shater dalam bukunya, The Bajau Laut: Adaptation, History and Fate
in a Maritime Fishing.
Motif ukiran timbul serta ragam bentuk sunduk yang diukir memperlihatkan ketinggian kemahiran serta
penglihatan jitu mengukir sunduk
dalam penghasilannya. Motif, bentuk dan saiz sunduk mengisahkan identiti,
kehidupan dan kehebatan masyarakat Bajau Pulau Jambongan.
Setelah saya membuat penelitian keatas sunduk-sunduk di sabah , siapakah sebenarnya penemu,peneliti dan pengkaji yang sebenar masyarakat sunduk di sabah.
BalasPadam