Khamis, 26 Mei 2016

MURUT SERUDONG DAN KERAMAT
oleh: NORLAILA BT BAHARUDDIN

    Mungkin tidak banyak orang yang mengenal etnik Murut Serudong. Hal ini demikian kerana kebanyakan masyarakat Murut tinggal di kawasan pendalaman Sabah iaitu Keningau, Sook, Nabawan, Persiangan, Sipitang dan sebagainya. Etnik Murut Serudong merupakan satu-satunya sub etnik Murut yang boleh ditemui bahagian pantai timur Sabah iaitu Tawau dan Kalabakan. Faktor utama penghijrahan masyarakat Serudong ke kawasan pantai timur Sabah bermula apabila berlaku serangan penyakit kulit yang amat teruk sehingga menyebabkan banyak orang kampung yang menjadi cacat atau kudung (tangan dan kaki) dan akhirnya mati. Penyakit tersebut sukar diubati serta menyebar dengan amat cepat.
   Perkataan “Serudong” berasal daripada perkataan “kudung” iaitu kudung kaki atau tangan kerana jangkitan penyakit tersebut. Sekiranya berlaku kematian di kampung itu akibat penyakit tersebut, maka orang kampung akan segera meninggalkan kampung tersebut tanpa menghiraukan mayat yang bergelimpangan kerana takut dijangkiti oleh penyakit itu. Kumpulan yang terselamat berhijrah hingga ke kawasan pedalaman Sandakan. Penghijrahan seterusnya berlaku sehingga ke hulu Sungai Serudong di kawasan Tawau.
    Pada tahun 1963, iaitu ketika Konfrontasi Malaysia – Indonesia, Tuan Bakai atau Kee Abu Bakar bersama-sama dengan kerajaan British meminta agar etnik ini dipindahkan ke kawasan Apas Balung. Perpindahan tersebut adalah untuk menjamin keselamatan orang Serudong daripada menjadi mangsa perang di kawasan sempadan Malaysia – Indonesia. Etnik Tidung yang mendiami kawasan hilir Sungai Serudong pula dipindahkan ke kawasan Kuala Merotai.
   Apabila orang Murut Serudong tidak berpuas hati dengan keadaan di Apas Balung, pemimpin masyarakat Serudong iaitu KK Sinut merancang untuk kembali ke hulu Sungai Serudong yang merupakan petempatan lama mereka. Namun memandangkan keadaan pada masa tersebut tidak menjamin keselamatan mereka untuk pulang ke kampung halaman, maka orang Serudong terus tinggal di Kalabakan sehingga tahun 1967. Pada tahun 1968, mereka akhirnya pulang ke kawasan Serudong  iaitu petempatan asal orang Tidung. Sehingga hari ini, petempatan orang Serudong di Tawau ialah di hilir Sungai Serudong dan Apas Balung, Tawau.
     Menyentuh kisah keramat dalam kalangan masyarakat Serudong, kisah ini berkisarkan kesaktian yang dimiliki oleh nenek moyang mereka. “Keramat” merupakan nenek moyang orang Serudong yang mempunyai ilmu kesaktian yang luar biasa. Dalam bahasa Murut, keramat dinamakan lobong atau kuburan orang sakti. Pada zaman dahulu, ada sebuah batu yang sangat besar dan tinggi sehingga cahaya matahari tidak dapat menembusi kawasan penempatan orang Serudong. Hal ini sangat menyusahkan orang kampung yang tinggal di kawasan tersebut. Menurut Yusup, ada tujuh orang adik-beradik yang pergi ke kampung tersebut untuk merobohkan batu itu. Walau bagaimanapun, mereka tidak berjaya merobohkan batu tersebut itu dengan menggunakan pangkal kaki landak dan bacaan jampi mentera. Pada hari ini, kawasan tersebut dikenal sebagai tinagat yang bermaksud ditebang. 
    Dalam peristiwa batu tersebut sedang rebah ke bumi, si adik bongsu telah diarahkan untuk memotong batu tersebut. Malangnya, jari kelingking si adik bongsu tersepit di celah batu yang pecah itu. Si adik yang cedera parah dan dalam keadaan kesakitan dibawa pulang ke Timbalunan. Walau bagaimanapun, si adik bongsu tidak lagi dapat diselamatkan dan akhirnya meninggal dunia. Dia dikebumikan di Timbalunan. Sebelum adik bongsu meninggal dunia, dia berpesan agar dikebumikan dengan menggunakan keranda kayu yang ditanam secara menegak. Setiap tiga tahun, kawasan “keramat” adik bongsu akan dibersihkan oleh orang-orang terpilih sebagaimana yang diwasiatkannya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
    Selain kisah perobohan batu yang besar dan tinggi, terdapat banyak lagi kisah yang membezakan keramat masyarakat Serudong daripada orang biasa. Salah satu kisah kesaktian masyarakat Serudong ialah kehandalan mereka berjalan dengan lebih cepat berbanding dengan orang biasa. Dikatakan, orang yang mempunyai kesaktian itu dapat pergi ke satu tempat yang jauh seperti ke bandar untuk membeli barangan keperluan harian dalam masa sehari sahaja berbanding dengan orang biasa yang mengambil masa berminggu-minggu untuk balik ke kampung.
    Kuburan orang yang memiliki keramat haruslah dibersihkan mengikut wasiat si mati. Sekiranya mereka tidak berbuat demikian, dipercayai pelbagai bencana akan menimpa penduduk kampung seperti banjir, kemarau panjang dan sebagainya. Sekiranya mereka mempunyai hajat kepada keramat tersebut, mereka akan pergi ke kubur untuk membersihkan kawasan tersebut dan dipercayai keramat tersebut akan menunaikan permintaan mereka. Contohnya, jika kemarau panjang melanda kampung tersebut dan tanam-tanaman mereka tidak menjadi, maka mereka akan menghajatkan hujan untuk membolehkan tanam-tanaman mereka tumbuh dengan subur. Terdapat dua buah kubur keramat orang Serudong iaitu di Persiangan dan di Ulu Serudong, Tawau.
      
                 


       
Generasi muda Murut mempamerkan aksi menari tarian tradisional kaum Murut

Tiada ulasan:

Catat Ulasan