Diari
M
|
alam itu bulan di langit bersinar
dan dikelilingi oleh bintang-bintang
yang berkelipan menerangi waktu malam yang sunyi sepi. Mata Zalida belum
terasa mengantuk walaupun adiknya sudah lena dibuai mimpi. Ketika itu, fikirannya
bercelaru memikirkan sesuatu perkara
yang tidak dapat diungkai olehnya sendiri. Dia cuba memaksa matanya untuk tidur
tetapi tidak terdaya. Sehingga sinar mentari mula memancar cahaya menerangi
bumi barulah dia dapat melelapkan
matanya. Sejak dua hari lepas lagi, jiwanya kacau dan tidak setenang dulu.
“Kenapa aku jadi
begini? Adakah disebabkan sebuah buku diari yang dijumpai olehnya dua hari yang
lalu?” pelbagai persoalan yang timbul dalam lubuk hatinya.
Luruh jantungnya apabila sewaktu pertama kali
dia membaca isi kandungan yang di tulis oleh pemilik diari itu. Pemilik buku diari itu telah menulis tentang
keburukan dirinya. Rancangan jahat yang telah dirancang sebelum ini juga telah
tercatit di dalam diari itu.
Jam loceng berdering
dengan kuat sekali di tepi sudut katil. Zalida menekan punat jam loceng itu
yang membingitkan telinganya. Tanpa disedari dia sudah terlewat untuk ke
sekolah.
Dia tergesa-gesa
bersiap untuk ke sekolah. Dia menuruni anak tangga ke tingkat bawah dengan
pantas seolah-olah ada sesuatu yang mengejarnya dari belakang.
“Ida, turun
elok-elok, nanti jatuh,” kata Puan
Zaleha kepada anak sulungnya.
Sebelum ke sekolah
dia bersalam-salaman dengan ibunya dan mengucup kedua-dua belah pipi ibunya.
Dia hanya menunggang motor Honda biasa sahaja walaupun dia boleh memandu kereta
ke sekolah kerana keluarganya agak berada. Dia tidak suka bermegah dengan
kemewahan yang dimiliki oleh keluarganya. Zalida telah dimarahi oleh guru
kelasnya kerana sudah tiga hari berturut-turut dia datang lewat ke sekolah.
“Kenapa ni Zalida, sejak akhir-akhir ini awak
selalu datang lewat? Awak ada masalah
ke?” Betubi-tubi soalan yang diutarakan oleh guru ekonominya iaitu Cikgu
Marina.
“Maaf cikgu, saya
bangun lambat,” kata Zalida dengan ringkas.
Cikgu Marina cuba
bertanyakan masalahnya tetapi dia tetap dengan pendiriannya. Zalida terus duduk
di tempat duduknya dengan wajah yang suram. Kawan baik yang berada di
sebelahnya tidak dipedulikannya.
“Kenapa dengan kau?
Apa sudah terjadi. Kau kelihatan tidak bermaya,”suara Shahira mula kedengaran.
Zalida terdiam
seketika tanpa ada sebarang reaksi.
“Apa pasal kau diam sahaja?” Kedengaran suara
Shahira sedikit merajuk.
“Nanti, aku bagi tahu
engkau,” jawabnya ringkas.
Selepas waktu sekolah
tamat, Shahira cuba membuka semula topik yang dibualkan oleh mereka pagi tadi.
Zalida dan Shahira merupakan sahabat baik dari sejak kecil lagi. Segala suka
dan duka mereka sentiasa berkongsi bersama. Shahira berasa sedikit kecewa
dengan kawannya kerana tidak mahu berkongsi masalah dengannya. Zalida menjadi
serba salah kerana tidak mahu menceritakan hal sebenarnya kepada kawan baiknya
itu.
“Perlu ke aku
menceritakan hal ini kepada Ira, aku takut dia risaukan aku,” fikir Zalida
dalam hati.
Zalida memberitahu kawannya bahawa dia akan
menceritakan masalahnya selepas pulang dari sekolah. Shahira selalu lepak
dirumah Zalida dan hubungan Shahira dengan keluarga Zalida ibarat keluarga
sendiri. Walaupun keluarga Zalida kaya, mereka menjalinkan hubungan dengan
setiap jiran tanpa mengira status dan pangkat. Sikap Puan Zaleha yang suka
membantu jiran-jirannya ketika mengalami kesusahan menyebabkan dia disenangi
oleh jiran-jiran di kawasan rumahnya.
Shahira sudah
terbiasa berada di dalam rumah Zalida. Puan Zaleha menyambut Shahira dengan mesra.
Dikucup dengan lembut tangan ibunya. Zalida tetap menghadiahkan senyuman manis
walaupun hati sedang dirundung pilu. Memikirkan hal dunia tidak akan pernah
tamat. Hanya hati yang mampu berbicara sendiri.
Zalida turut membantu
ibunya menghidang lauk-pauk yang dimasak. Disusunnya pinggan di atas meja
dengan rapi. Shahira membawa keluar dulang yang berisi jus oren di dalam
gelas. Mereka makan bertiga. Pelbagai
topik perbicaraan yang terkeluar dari mulut masing-masing. Shahira pandai
menghiburkan ibunya. Dia memandang Shahira dengan wajah yang manis.
Setelah selesai makan
petang, Zalida dan Shahira naik ke bilik. Selesai menunaikan solat zohor,
Zalida menceritakan perkara yang selalu bermain dalam fikirannya kepada
Shahira. Kelihatan Shahira tidak sabar menunggu masalah yang bakal diberitahu
oleh kawannya itu.
Shahira masih
menanti. Menanti rahsia yang ingin dibuka olehnya. Dia masih terdiam. Mukanya
berubah muram. Matanya mula berair. Terasa sangat berat ingin diperkatakan.
Shahira mula menggengam tangannya. Hangat sekali.
Mulutnya masih berat
untuk berkata-kata. Hatinya terlalu perit untuk mengingati. Tidak boleh
disimpan terlalu lama. Tidak ingin menjadi sarang yang sangat berbisa di dalam
hati. Perasaan yang berkeremuk harus dilepaskan.
Dia mula bangun dari
katil. Shahira hanya memandang tanpa kata. Berjalan perlahan menuju ke meja
belajar. Tangannya mula menarik laci meja. Dikeluarkan sebuah buku diari
berwarna merah.
Shahira kelihatan
kebingungan. Dia menghulurkan diari itu kepada kawannya. Shahira kelihatan
kaku. Mukanya penuh persoalan. Zalida memandangnya dengan sayu.
“Kau bacalah,” lemah
suaranya.
Shahira
membelek-belek dengan cepat. Matanya liar meneliti isi kandungan di dalam diari
itu. Kawannya masih membaca diari itu. Dia hanya memandang tanpa kata. Sudah
lama diari itu menghantui dirinya. Diari itu ditutup oleh Shahira.
“Angkara siapa ini,”
soalnya.
Zalida menghela nafas
yang panjang. Dia hanya menggeleng kepala. Tidak tahu angkara siapa yang
menyimpan dendam begitu busuk terhadapnya. Ingin sekali berdepan dengan manusia
sebegini menghitung perlawanan yang ada di depan mata. Orang itu masih bermain
bersembunyi dengannya. Permainan itu harus berakhir dengan cepat. Resah hatinya
seorang diri.
“Aku harus mencari
orang itu. Sampai ke lubang cacing,” bentaknya.
Shahira tersentap.
Pertama kali melihat Zalida seperti bara api yang sedang menyala kepanasan. Dia
hanya mengangguk. Tangannya dihulurkan kepada Zalida.
“Bersama kita,”
katanya kepada Zalida.
Kesan bidasan rotan
masih belum hilang lagi dibetisnya. Betapa peritnya apabila dia ditangkap
khalwat oleh guru sekolahnya dengan lelaki tidak dikenalinya. Hatinya sebak
apabila dia telah teraniaya sehingga papanya hilang kepercayaan terhadap
dirinya. Nasib ibunya sangat
mempercayainya.
“Siapa kau?” soal Zalida di dalam hati.
Bibirnya tertutup ketat seolah-olah menahan rasa amarah. Tiba-tiba Zalida
teringat seorang rakan kelasnya. “Mungkin Marissa Shahini?” soalnya sendirian.
Zalida masih teringat reaksi Marissa sewaktu
dia dituduh mencuri telefon bimbit guru kelasnya. Telefon tersebut dijumpai di
dalam begnya. Marissa kelihatan tersenyum puas. Matanya mula terkuyu layu.
Operasi mencari
pemilik buku diari itu telah pun bermula. Shahira merancang supaya cuba mencari
pemilik tulisan dalam kalangan kawan-kawannya. Sewaktu semua kelas tingkatan
enam digabungkan, mereka akan diberikan tugasan. Dalam fikiran Zalida hanya
tertumpu kepada Marissa. Dia tidak boleh menuduh orang sebarangan. Lagipun dia mengetahui bahawa Marissa suka bersaing
dengannya semenjak sekolah rendah lagi.
Marissa selalu berada di belakang Zalida walaupun dia cuba mengatasi Zalida
dengan pelbagai cara.
“Mungkin kau cemburu
terhadap aku Marissa?” Bisik hatinya.
Marissa selalu
memandang ke arah Zalida dengan jelingan yang tajam seolah-olah Zalida telah
melakukan kesalahan besar terhadapnya.Tugasan pelajar-pelajar itu akan
dikumpulkan oleh seorang wakil pelajar tingkatan enam. Zalida dan Shahira tidak
melepaskan peluang yang ada untuk mencari tulisan yang sama dengan pemilik buku
diari tersebut.
“Syafiq!” panggil Zalida dari arah belakang.
Syafiq pada ketika
itu leka memunggut tugasan yang diberi oleh rakan-rakannya.
“Ya,” jawab Syafiq
dengan ringkas.
“Biar la aku tolong hantar tugasan ini dekat
bilik guru, lagipun aku mahu ke sana selepas ini,” kata Zalida cuba mempelawa
dirinya.
“Baiklah,” tanpa
banyak soal Syafiq menghulurkan ke semua tugasan-tugasan itu kepada Zalida.
Mereka berjalan
menuju ke bilik guru sambil meneliti tulisan kawan-kawannya. “ Tidak ada yang
sama pun tulisan ini dengan tulisan pemilik buku diari ini.” Keluh Zalida agak
panjang.
Mereka berasa sedikit
hampa kerana usaha untuk menjejaki tulisan pemilik buku diari itu tidak
berjaya. Zalida tetap tidak berputus asa untuk mencari siapakah pemilik buku
diari itu.
Zalida dan Shahira
juga bertanyakan kepada rakan-rakannya sekiranya pernah melihat seseorang yang pernah membawa diari
itu. Usaha mereka juga tidak berjaya. Zalida melihat Marissa dari jauh. Ingin
sahaja dia mendekati Marissa dan
bertanyakan tentang diari itu. Tindakan itu, Zalida cuba membuangnya jauh-jauh.
Semangat Zalida mula luntur kerana buntu disebabkan sudah tiada rancangan untuk
mencari pemilik diari tersebut. Zalida termenung keseorangan apabila memikirkan
peristiwa yang amat memalukan itu yang dirancang oleh pemilik diari itu.
Tiba-tiba seorang lelaki memasuki kelasnya ketika Zalida sedang mengemas buku.
Lelaki itu langsung tidak dikenalinya dan merupakan pelajar luar. Dia cuba
melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap Zalida. Cikgu Marina dan Cikgu Faridah
datang menangkap mereka. Lamunan itu mula lenyap apabila loceng balik telah
berbunyi.
Dia melakukan
perancangan sendiri tanpa diketahui oleh kawannya. Selepas waktu persekolahan
tamat, Zalida telah meletakkan diari itu di atas mejanya. Shahira berasa hairan
dengan tindakan yang di lakukan oleh kawannya itu.
“ Kenapa kau
letak diari ni atas meja, kau mahu
pemiliknya ambil macam tu sahaja ke?” Soal Shahira kerana bingung dengan
tindakan kawannya.
“Ya, aku mahu tuan
punya buku ini ambil buku diarinya, aku tidak mahu menyimpan lama-lama buku
diari ini. Aku rasa cukuplah setakat ini masalah tentang pemilik buku diari
ni,” kata Zalida panjang lebar.
“Kau dah putus asa Ida, kau bersusah payah
untuk mencari pemilik buku ini. Setakat ini
usaha kau untuk mencari pemilik buku diari?” Soal Shahira.
“ Ya,” kata Zalida
pendek.
“Maafkan aku Ira
kerana aku terpaksa berbohong,” jerit hati kecil Zalida.
Zalida terus keluar
dari kelasnya dan Shahira menyusur dari belakangnya. Zalida merasakan
rancangannya akan gagal sekiranya Shahira terus bersamanya. Dia ingin melakukan
seorang diri. Masalahnya harus diselesaikan olehnya. Langkah kaki Zalida
terhenti. Shahira mengangkat kening.
“Aku ingin pergi ke
perpustakaan,” katanya.
“Baiklah, aku balik
dahulu,” sekuntum senyuman terukir.
Zalida mula melangkah
ke arah perpustakaan. Dia berjalan dengan pantas. Dipusing ke arah kelasnya
kembali. Dia menaiki anak tangga dengan cepat. Peluh jatuh menitis ke muka.
Nafasnya berombak kencang. Dia menarik nafas panjang. Buku diari itu masih ada
di atas meja. Lega hatinya.
Matanya mula mencari
tempat untuk bersembunyi. Matanya tertumpu ke sebuah almari kelasnya. Dia
berlari ke arah almari itu. Badannya mula mengeluarkan peluh. Terasa lemas
bersembunyi. Ditahan perasaan rimasnya.
“Kau suka bermain
sembunyi-sembunyi dengan aku. Kali ini aku bermain sembunyi-sembunyi dengan
kau,” pekik hatinya tanpa suara.
Dia masih menunggu
pemilik diari. Terasa agak lama menunggu. Badannya mula berasa panas. Peluhnya
sudah membasahi baju putih itu. Dilap peluh dengan sehelai tisu. Mungkin
pemilik diari itu tidak akan datang mengambilnya. Dia tetap masih menunggu.
Menunggu tanpa jemu.
Bunyi tapak kasut
semakin jelas kedengaran. Bunyi itu diamatinya. Dia keluar dengan pantas dari
belakang almari itu. Mulutnya terlopong. Matanya terbeliak memandang pemilik
diari itu. Tak disangka-sangkakan! Hebat sungguh permainanmu. Sandiwara apakah
ini. Bermain dengan api yang akan membakar diri. Sungguh hebat lakonanmu.
Mengalahkan pelakon yang terkenal. Mata bundar itu mula berubah warna. Wajah
putih itu mula berubah reaksi.
Pemilik diari itu
memandangnya dengan kaku. Jantungnya berdegup dengan kencang dan bagaikan
ditusuk dengan duri yang amat tajam. Terasa begitu pedih sekali dan satu
penyeksaan kepada jiwa dan raganya. Tetapi hakikatnya, semua itu realiti. Dia
bagaikan tidak percaya melihat semua itu. Adakah aku sedang bermimpi.
Dia masih tidak
percaya perbuatan itu dilakukan oleh kawannya sendiri. Kawan yang dia
percayakan selama ini sanggup menikamnya dari belakang. Bahkan berpura-pura di
depannya meneruskan permainan itu.
“Kau!” Keras suaranya
“ Ya! Ini semua kerja
aku,” bentaknya kuat.
“Kenapa kau sanggup
lakukan semua ini. Apa dosa aku terhadap kau. Sehingga kau sanggup jadi gunting
dalam lipatan. Kesalahan apakah yang membuatkan kau hilang rasa simpati,”
perlahan nada suara Zalida.
“Ah! kau bertanyakan
aku apa salah engkau kepada aku? Kau tidak tahu bagaimana perasaan seseorang
apabila cinta pertamanya ditolak. Apa yang kau mahu semua kau dapat Ida. Aku
berasa sangat cemburu melihat kebahagiaan kau. Kau pandai dan cantik. Semua
orang sayang kepada kau. Aku tidak ada semua itu. Keluarga aku miskin dan tak
berharta. Tetapi berani kau rampas orang yang aku suka. Aku semakin benci kau
Ida. Semua ini salah kau Zalida!” Jerit Shahira.
“Ira, sedarlah Ira. Aku ikhlas berkawan dengan
kau dan aku tidak pandang semua itu. Aku kawan dengan kau sebab hati kau
bersih. Mungkin sebab cinta menyebabkan hati kau buta. Tak perlu kau
merendahkan diri kau serendah itu. Bagi aku, kau ada hati besar cukup bagi aku
untuk menyayangi kau sebagai seorang kawan. Tak perlu kau hancur nilai
persahabatan ini yang sekian lama terbina kerana cinta seorang lelaki yang
tidak pasti,” pujuk Zalida lembut.
“Aku tidak kisah
semua itu. Sekarang ini. Hati aku bagaikan dicincang-cincang. Betapa sakitnya
hati aku. Kenapa kau kawan aku sendiri tidak mahu melihat aku bahagia?” Soalnya
dengan kasar.
“Ira, kau jangan
berfikir seperti itu,” Zalida cuba memeluk kawannya tetapi ditepis olehnya.
“Kalau sebab cintalah persahabatan kita
terputus aku tidak merelakan. Aku tidak mahu mengalami perasaan cinta kalau
cinta boleh menyebabkan kita lupa daratan dan lupa erti nilai sebuah
persahabatan. Aku lebih rela memilih sebuah persahabatan dari memilih
percintaan. Bagi aku nilai sahabat amat berharga bagaikan
sebutir mutiara yang tidak pernah hilang sinarnya. Kalau kita hilang
cinta kita boleh mendapatkan semula cinta sejati, tapi kalau kita kehilangan
sahabat kita susah mendapat sahabat sejati Ira,” kata Zalida cuba menyedarkan
kawan baiknya.
Air mata Shahira mula
membasahi pipinya. Dia berasa sangat malu dengan perbuatannya terhadap Zalida.
Shahira masih terdiam.
“Ira, bagi aku kaulah sahabat sejati aku, aku
tidak simpan sekumit dendam pun terhadap kau. Kau dah banyak mengajar aku erti
sebuah persahabatan,” kata Zalida dengan lembut.
Shahira berdiri
dengan kaku. Mukanya mula menunduk ke lantai. Semakin banyak titisan-titisan
jernih jatuh mengurai. Dia mula berlari menuju ke pintu. Dia berlari
semahu-mahu yang boleh. Zalida tersentap! Dia mula mengikuti langkah kawannya.
Dia memanggil nama
kawannya berulang-ulang kali. Shahira masih berlari dengan laju. Dia mula
sempuk. Ditahan nafasnya. Shahira melangkah menuruni anak tangga dengan laju.
Dia tergelincir sedikit dari tangga.
Zalida sempat
memegang tangan kawannya. Malang tidak berbau, Zalida tidak dapat mengimbangi
tubuhnya lalu kedua-dua mereka terjatuh dari tangga itu. Kedua-dua mereka jatuh
bergolek. Badannya terasa sangat sakit. Kepalanya terhantuk pada tiang tangga.
Pedih sekali. Mukanya berkerut menahan kesakitan. Berpusing-pusing dunia. Darah
mula mengalir keluar.
Shahira mula berasa
cemas. Digerakkan kawannya berulang-ulang kali. Air matanya mula mengalir laju.
Satu penyesalan telah terbit di dalam hati. Dia mula memeluk kawannya dengan
erat.
Pandangan mata
sedikit kabur. Dia cuba menggagahkan mata untuk melihat. Kesakitan di kepalanya
masih terasa. Badannya terasa sangat lemah. Mukanya pucat. Tangannya sejuk.
Berkemungkinan sudah banyak kehilangan darah.
Dia dapat rasakan
tangan hangat memegang erat tangannya. Dia tersenyum. Shahira memandangnya
dengan perasaan gembira. Air mata masih bertakung di kelopak mata kawannya.
“Sudah banyak dia menangis kerana aku,” bisiknya
“Ira,” panggilnya
dengan lemah.
Semakin kuat tangisan
kawannya. Dia mengenggam tangan kawannya dengan kuat. Tidak ingin melihat
kawannya diselubungi rasa bersalah. Dia masih menggenggam dengan kuat.
Zalida mula memerhati
keadaan sekeliling. Ibu bapa dan adik lelaki berdiri tegak berdekatan dengannya.
Mata mereka sudah bengkak di basahi air mata. Begitu sayang sekali mereka
terhadapnya.
“Janganlah menangis.
Ida sudah baik,” katanya sambil mengukir senyuman di bibir pucat itu.
“Alhamdulillah, Ida dah sedar,” kata Puan
Zaleha sambil mengelap air matanya.
“Ida sudah baik ke
nak, ” kata Tuan Said kepada anaknya sambil memeluk erat anak gadisnya itu.
“Ida, sudah baik,” kata Zalida dengan lembut.
“Maafkan aku Ida.
Maafkan aku. Aku berasa sangat bersalah.” Pelukan Shahira semakin kuat.
Tangannya mengusap
lembut bahu rakannya. Mereka berpelukan begitu erat. Lahir sebuah persahabatan
yang begitu ikhlas setelah persahabatan dijalin sebelum ini penuh dengan
kepalsuan.
Tersedu-sedan
kedengaran suara tangisan insan yang bergelar sahabat. Shahira menangis dalam
pelukannya. Terasa amat selesa. Zalida tersenyum gembira kerana kawannya sudah
sedar dari kesilapan. Siapalah dia untuk tidak memberi kemaafan kepada seorang
manusia. Sedangkan Allah S.W.T sedia memberi keampunan kepada setiap hambanya.
Timbul penyesalan di
sanubarinya apabila berburuk sangka dengan orang lain. Sesal kemudian tidak ada
guna setelah nasi menjadi bubur. Tidak disangka hari panas terik rupanya hujan
di siang hari. Air mata penyesalan jatuh menitis kerana hati terlalu sibuk
membuat andaian terburu-buru. Tanpa menyelidik dengan terperinci!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan