Khamis, 26 Mei 2016

ADAT RESAM DAN PANTANG LARANG ETNIK BONGGI
oleh: Norlaila bt Baharuddin

   Etnik Bonggi merupakan masyarakat minoriti yang mendiami Pulau Banggi di Kudat, Sabah yang terletak di bahagian paling utara tanah besar Pulau Borneo. Sebahagian besar etnik Bonggi hidup secara tradisi. Pengaruh luar ternyata tidak banyak memberikan kesan terhadap corak hidup mereka. 
    Pulau Banggi ialah pulau yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 450 hingga 460 kilometer persegi. Pulau Banggi terletak di latitud 70 darjah 15 Utara dan merangkumi sebahagian daripada Daerah Kudat, Sabah. Pulau Banggi merangkumi kawasan sepanjang 31 kilometer dan 21 kilometer lebarnya. Kawasan tertinggi ialah Gunung Sinambung dengan ketinggian 550 meter dari paras laut. Pulau bersebelahan dengan Pulau Banggi yang terletak du bahagian Barat ialah Balambangan. Secara geologinya kedua-dua pulau ini adalah sebahagian daripada tanah besar Borneo.
    Pulau ini terletak di kawasan paling utara Borneo dan bersempadan dengan perairan Filipina di sebelah utara. Pulau Banggi diasingkan daripada tanah besar Sabah oleh Selat Banggi Selatan. Pusat pentadbiran Daerah Kecil Banggi di Karakit, Pulau Banggi terletak sejauh 44 kilometer dari Pusat Pentadbiran Daerah Kudat. Perjalanan melalui bot dari Kudat ke Karakit memakan masa 2 jam.

Kepercayaan Animisme
   Pagan mempunyai kaitan sepenuhnya dengan kepercayaan animisme. Kepercayaan animisme ialah satu bentuk amalan yang mempercayai bahawa segala benda (pokok, batu, angin dan lain-lain) mempunyai semangat atau roh. Roh ini dipercayai terdiri daripada makhluk halus yang menghuni tempat-tempat tertentu seperti sungai, batu, pokok kayu, rumah, dapur, tanah, langit dan lain-lain yang boleh mengganggu dan mendatangkan musibah kepada manusia apabila manusia mengganggu tempat tinggal mereka.
   Kepercayaan animisme ini masih menebal dalam kalangan etnik Bonggi kerana kebanyakkan mereka masih pagan atau belum beragama. Walau bagaimanapun hanya sejumlah kecil etnik Bonggi telah memeluk agama Islam dan Kristian. Etnik Bonggi yang memeluk Islam boleh ditemui di Kampung Limbuak, Balambangan, Sabur dan Karakit manakala yang beragama Kristian boleh ditemui Kampung Palak dan Kapitangan (Pasir Hitam).
      Kepercayaan animisme etnik Bonggi menjadi asas terpenting dalam pembentukan adat dan pantang larang mereka. Amalan pantang larang etnik Bonggi wujud melalui pelbagai kaedah perubatan untuk merawat penyakit secara tradisional. Pada zaman dahulu, sebelum hospital dan perubatan moden wujud di Pulau Banggi, kalangan ernik Bonggi akan mengadakan ritual untuk mengubati sesuatu penyakit. Ritual ini dikenali sebagai bejin. Mereka yang memerlukan rawatan ini akan memanggil bomoh untuk melakukan ritual tersebut untuk menyembuhkan penyakit atau masalah kesihatan yang mereka hadapi.
     Dalam ritual ini, bomoh akan memanggil hantu untuk menyembuhkan penyakit tersebut, diiringi oleh paluan gong iaitu betegunggu. Ritual tersebut akan dilangsungkan dari pukul tujuh malam hingga 12.00 tengah malam dan berterusan ke Subuh iaitu dari pukul tiga hingga lima pagi.
      Bagi kes penyakit yang tidak begitu serius, bomoh hanya akan mengambil daun selasih, kusur atau selibangun, kemudian dibaca jampi dan seterusnya disapu di bahagian tubuh yang bermasalah. Adakalanya, pesakit akan diberikan minum herba yang direbus bergantung kepada keadaan pesakit.
    Jika penyakit tidak juga sembuh walaupun selepas tiga malam betegunggu, ritual itu akan diulang selang tiga hari selepas itu. Bagi penyakit yang serius, bomoh akan menebuk hujung jari dengan jarum atau menggunakan pisau untuk mendapatkan darah pesakit tersebut. Darah tersebut akan disapu di bahagian perut pesakit. Walau bagaimanapun, terdapat pantang larang yang perlu dipatuhi dalam ritual ini. Antaranya termasuklah tidak boleh makan kunyit atau ayam dan tidak boleh berpakaian cantik. 
     Bagi menjayakan kelangsungan hidup, untuk mendapatkan api, mereka akan membuat bahan api yang diperbuat daripada kayu yang dinamakan firiane. Mereka melakukan kesalahan seperti mencuri akan dibawa ke muka pengadilan menghadap ketua kampung atau nguhume. Jika sabit kesalahan, pelaku akan didenda dengan membayar sejumlah wang kepada pihak yang mengalami kecurian. Antara pantang larang etnik Bonggi yang lain termasuklah:

Ø  Larangan membawa bambu, daun nipah dan buah pinang serta tandannya masuk ke dalam rumah kecuali untuk tujuan ritual.
Ø  Larangan singgah di rumah kawan selepas balik dari tanah perkuburan.
Ø  Larangan membawa masuk ayam ke dalam rumah.
Ø  Larangan membuat ketupat kecuali untuk tujuan sembahyang.
Ø  Larangan membawa gong atau abandil masuk ke dalam rumah kecuali rumah tempat sembahyang.
      
     Pelaku yang melanggar pantang larang ini akan dikenakan sogit atau denda sebiji celepa tembaga bersaiz lapan inci atau sejengkal. Demikianlah kehidupan tradisional etnik Bonggi yang terikat dalam pelbagai adat dan ritual yang telah diwarisi daripada nenek moyang dan akan diwariskan pula kepada generasi akan datang. Begitulah hakikatnya tradisi pewarisan amalan masyarakat ini.

Kelahiran
   Pantang larang dalam etnik Bonggi berkaitan kelahiran bermula sejak peringkat seseorang wanita itu mengandung. Antara pantang larang ketika seseorang wanita itu mengandung adalah seperti berikut:

  •  Tidak boleh melangkah kaki wanita yang sedang mengandung. Jika terlangkah dipercayai anak yang dilahirkan nanti akan mengikut perangai orang yang melangkah kaki ibunya.
  •   Tidak boleh memarahi wanita yang sedang mengandung, takut nanti wanita itu akan menguus iaitu sukar melahirkan anak. Hal ini akan mengakibatkannya berada dalam keadaan yang amat sakit apabila hendak bersalin.  
Pantang larang bagi ibu yang baru bersalin pula adalah seperti berikut:

  •          Tidak boleh keluar rumah selama 44 hari.
  •      Tidak boleh mandi selepas bersalin. Si ibu hanya dibenarkan mandi selepas tiga hari selepas bersalin. Si ibu akan mandi setiap tiga hari selepas itu untuk punggil (kambuh)
  •   Tali pusat bayi yang baru lahir mesti dipotong oleh bidan kampung dengan menggunakan buluh yang telah ditajamkan.

Perkahwinan
     Pada masa dahulu, adat yang dikenali sebagai nguhume (hukum) dijadikan landasan untuk membicarakan sesuatu kesalahan yang berkaitan dengan perkahwinan. Apabila seorang lelaki etnik Bonmggi mencari pasangan, dia akan meminang gadis pilihannya bersama ketua Kampung yang dilantik oleh penduduk kampung. Sekiranya pihak perempuan bersetuju, maka tarikh perkahwinan akan ditetapkan. Berian semasa perkahwinan adalah dalam bentuk duit, toog (gong) dan gadur (sejenis keris lama).
     Dalam tempoh pertunangan, pasangan dilarang berjalan berdua-duaan tanpa keizinan ibu bapa pihak perempuan. Menurut buku Beberapa Pantang Larang Suku Kaum Anak Negeri Sabah Bahagian Satu, jika larangan ini tidak dipatuhi oleh pihak lelaki, maka pihak lelaki dikenakan sogit atau denda sebiji celepa bersaiz sejengkal dan sebiji sumbul.
    Pasangan yang menyukai antara satu sama lain, tetapi belum bertunang dilarang berjalan berdua-duaan. Jika arahan ini tidak dipatuhi maka pelaku lelaki dikenakan sogit atau denda dua biji celepa. Sogit atau denda hendaklah diserahkan kepada pihak perempuan. Kedua-dua pihak juga dikehendaki membayar sogit sebanyak RM 400.00.
      Lelaki dan perempuan bujang yang didapati berjalan berdua-duaan pada waktu malam akan ditangkap basah kerana melakukan kesalahan yang disebut suat sala. Jika telah tidur bersama, mereka mesti berkahwin dan akan melalui perbicaraan nguhume. Dalam kehidupan berkeluarga pula suami atau isteri hendaklah memberikan sejumlah wang mengikut kemampuan tanpa had tertentu kepada pasangannya yang hendak menggunting rambut. Hal ini demikian kerana untuk mengelakkan slaie iaitu denda adat seperti sogit.
    Lelaki etnik Bonggi yang berkahwin untuk kali kedua dan mempunyai anak mesti memberikan wang kepada anak dan isteri kerana takut terkena keluanggane atau sakit. Kegagalan untuk berbuat demikian menyebabkan dia terpaksa melalui perbicaraan nguhume.
    Larangan yang perlu dipatuhi berkaitan perkahwinan di bawah umur seperti yang terdapat dalam buku Beberapa Pantang Larang Suku Kaum Anak Negeri Sabah (Bahagian Satu) ialah pasangan yang belum cukup umur tetapi ingin berkahwin, perlu berbincang dengan ketua kampung terlebih dahulu. Jika larangan ini tidak dipatuhi, maka ibu bapa kedua-dua belah pihak akan dikenakan sogit atau denda sebiji gong tatog.

Kematian
Terdapat beberapa pantang larang dalam kalangan etnik Bonggi seperti yang disebutkan dalam buku Beberapa Pantang Larang Suku Kaum Anak Negeri Sabah Bahagian Satu (DBPCS), 2008:18). Antaranya termasuklah:

  •    Ahli keluarga si mati dilarang bekerja dan mandi selama tiga hari bermula dari hari berlakunya kematian. Setelah tempoh larangan ini tamat, ahli keliuarga si mati   dikehendaki bercukur kepala (lelaki) dan menggunting hujung rambut (perempuan).
  •         Ahli keluarga si mati dilarang mengunjungi kubur si mati selama setahun kecuali jika ada ahli keluarga si mati meninggal dunia dalam tempoh tersebut.
  •      Ahli keluarga si mati dilarang mengorek atar membakar kubur sama ada dengan sengaja ataupun tidak sengaja dalam tempoh tersebut. 
    Jika larangan berkaitan kematian ini tidak dipatuhi, maka pelaku akan dikenakan sogit atau denda sebiji celepa. Celepa itu hendaklah diserahkan kepada si mati. Berdasarkan huraian dan penjelasan yang sudah dikemukakan berhubung adat resam dan pantang larang etnik Bonggi, ternyata ia mempunyai kepentingan yang sangat releven dengan etnik tersebut. Adat resam dan pantang larang yang mereka warisi ini membolehkan mereka dapat melalui kehidupan yang harmoni, aman dan saling bekerjasama.   

                     

                                          Rumah tradisional etnik Bonggi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan