Khamis, 26 Mei 2016





Cinta islamik
Oleh: Nurul Idayu Bt Mohamed Yaacob
Apabila dikatakan tentang cinta ramai orang mengatakan cinta itu tidak ternilai harganya. Ramai di antara kita mempunyai definisi tertentu tentang makna sesebuah cinta. Cinta terbahagi kepada banyak kategori iaitu cinta kepada manusia, tuhan, alam,agama dan sebagainya. Cinta kepada agama sangat penting dan tidak ada tolak bandingnya. Begitulah kita sebagai seorang manusia seharusnya sentiasa mengingati penciptaNya. Kita sebagai seorang manusia seharusnya mencintai agama  dengan setulusnya kerana tanpa cinta dalam agama menyebabkan kita melakukan sesuatu ibadah tanpa kerelaan dan hanya melakukannya kerana terpaksa.
Sebenarnya cinta terhadap agama mengajar manusia tentang menutup aurat dan pandangan. Sebagai orang islam kita seharusnya menutup aurat untuk menjaga kehormatan diri daripada menimbulkan pelbagai fitnah. Sekiranya kita sangat cintakan agama, kita seharusnya mematuhi setiap hukum dan peraturan agama dengan hati yang rela dan tidak terpaksa apabila melakukannya. Apabila dikatakan kita wajib menutup aurat, semua memakai tudung tetapi tidak menutup aurat sepenuhnya. Kita haruslah mengawal pandangan mata daripada lembah kemaksiatan. Bermula dengan pandangan mata juga menyebabkan kita boleh jatuh cinta dengan seseorang. Sekiranya kita tidak dapat mengawal pandangan menyebabkan kita terlalu terikut-ikut dengan perasaan dalam diri yang tidak elok. Pandangan mata perlulah memandang sesuatu yang indah dan baik-baik sahaja agar kita tidak terpesong akidah dan akhlak. Sebagai seorang manusia, kita perlulah mengenal erti sebenarnya cinta kerana setiap daripada kita mentafsirkan cinta dengan pelbagai makna. Ada yang mentafsir tentang kebaikan da nada juga mentafsirkan tentang keburukan. 
Cinta mengajar manusia tentang keikhlasan dalam berkasih sayang. Allah begitu cinta akan makluknya dan begitu juga dengan manusia. Cinta kepada Allah S.w.t akan kekal abadi manakala cinta kepada manusia hanya sementara. Ramai di antara kita hari ini mengejar cinta dunia semata-mata tanpa mengenal cinta illahi. Kita haruslah mengetahui erti sebenarnya cinta dan kasih sayang. Sekiranya kita dapat merasainya barulah kita mengetahui bahawa cinta itu begitu indah dan sesuatyu anugerah yang tidak ternilai bagi seseorang manusia. Sekiranya kita membuat sesuatu perkara tanpa cinta hasilnya tidak seberapa dan hanya melepaskan batuk di tangga sahaja. Begitu dalam sesuatu ibadah yang selama ini kita lakukan. Kita haruslah melahirkan perasaan yang benar-benar cinta terhadap sesuatu benda barulah sesuatu yang kita lakukan akan mendapat hasil yang baik dan sangat berharga.
Kesimpulannya, cinta islamik memberikan garis panduan yang terbaik dalam kehidupan manusia yang memberikan kebahagiaan dunia dan akhirat. Oleh itu, kita sebagai makhluk yang menumpang hidup di bumi ini haruslah menjalani kehidupan dengan penuh ketakwaan dan keredhaan illahi agar tidak jatuh ke lembah kehinaan dan kemaksiatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan