MANIK BORNEO
oleh: Norlaila Binti Baharuddin
CAKERA
CENGKERANG
Kebiasaanya manik terawal di Malaysia
dibuat dari cengkerang dan masih disukai ramai. Telok Kimanis di Sabah
merupakan pusat pembuatan manik cengkerang yang terkenal suatu masa dahulu.
Pada awal kurun ke 20, seorang pengawal Syarikat Berneo Utara di Beaufort
mencatat dan membantah kedatangan orang Iban dari Sarawak untuk membeli manik
cakera cengkerang untuk didagangkan. Beberapa pakaian wanita Kadazandusun iaitu
skirt, jaket dan hud dihias serba indah dengan cengkerang. Cengkerang pula
dianggap sejuk dan boleh menghindarkan
demam panas. Dukun kaum Bidayuh menggunakan manik cengkerang untuk memulihkan
bayi daripada menggigil atau terkejang-kejang. Tali pinggang yang diperbuat
daripada lima hingga tujuh jalur cakera cengkerang begitu dihargai oleh para
dukun.
MANIK
CENGKERANG BESAR
Manik ini digunakan dalam pembuatan
tali pinggang dan tali leher. Ia dikenali dengan ba’o ulum atau ulub oleh
masyarakat Kelabit manakala tebalu
oleh masyarakat Lun Bawang. Manik jenis ini dikatakan datang dari Brunei. Manik
cengkerang terbesar di Muzium Sarawak yang panjangnya melebihi 10 cm adalah
seutas hiasan leher amat berat dan jarang sekali ditemui.
MANIK
STRAW MINUMAN
Ia dikenali dengan Bao tulong buror oleh masyarakat Lun
Bawang dan ba’o rawir bagi masyarakat Kelabit. Manik ini biasa
digunakan dalam pembuatan rantai leher dan tali pinggang. Manik straw minuman
berbentuk kaca licin dan bahagian tiubnya panjang dan nipis. Manik ini
merupakan manik yang paling tua di sekitar borneo. Beberapa butir telah ditemui
dalam konteks permulaan zaman logam dalam Gua Madai di Timur Sabah.
DONUT
KUNING
Manik ini sangat popular di kalangan
orang Ulu yang menggunakannya untuk bahagian tepi rantai leher. Ia mempunyai
nilai ritual yang tinggi bagi menunjukkan sebutir manik yang tua. Keluarga
orang kaya turut menghadiahkan manik donut kuning sebagai tanda pertunangan
bersama-sama lukut yang lebih mahal dan berwarna-warni. Ini adalah
satu-satunya manik yang diketahui telah
diperbuat di Borneo pada awal kurun ke 20. Manik kuning yang diimport ditumbuk
dalam lesung besi. Batu halus tersebut kemudiannya diisi dengan berhati-hati
dalam acuan tanah liat dan dibakar dalam relau di kawasan belakang rumah.
Setelah kaca melekur, manik yang masih likat ditebuk dengan mengunakan sebatang
penebuk besi.
CERI
KUNING
Manik ini merupakan bahan utama yang
digunakan oleh kaum Lun Bawang. Ia dikenali dengan bao alet birar mon atau alet
mon meching. Manik kuning telah ditemui di Semenanjung Malaysia dan ia
kemungkinan besar berasal dari negeri Cina.
KACANG
TANAH KUNING
Manik ini dikenali dikeseluruhan
Borneo. Ia dipanggil dengan let alai
oleh masyarakat Lun Bawang dan manik pasin
oleh masyarakat Melanau. Ia terutamanya dianggap paling berharga oleh kaum
Kelabit dan Lun Bawang untuk dibuat rantai leher manakala kaum Melanau
menggunakannya dalam menghiasi kelepet ‘tunik manik’ mereka. Manik ini
dikatakan berasal dari negeri Cina dan dihasilkan semata-mata untuk tujuan
eksport.
SFERA
CARNELIAN
Manik ini digunakan oleh kaum Tahol
dan suku kaum berkaitan di Sabah untuk membuat lilit kepala atau tali pinggang.
Ia berukuran dari sekecil biji kacang hingga garis pusatnya melebihi 25 mm dan
berwarna coklat kemerahan. Manik ini dianggap tua, berkuasa dan melindungi si
pemakai.
TAHANG
BIRU
Manik ini berwarna dari biru gelap
hinggalah hampir ke firus jernih, berbentuk tahang dengan sisi yang cembung
sedikit. Ia ditemui di tapak kuno seperti ‘Ur’ iaitu sebagai bahan paling laris dan dihasilkan di pelbagai
tempat di seluruh dunia. Manik ini amat dihargai oleh kaum Kelabit di Sarawak
yang mempunyai berbagai nama bagi setiap manik yang berbeza dari segi gred atau
nada. Kaum Selakau yang tinggal di Barat laut Sarawak dan Kalimantan
menganggapnya sebagai satu-satunya manik baik. Ibu-ibu yang menyusukan anak
memakai rantai manik supaya bayi boleh memegang manik biru tersebut dan
menyerap makanan fizikal dan kejiwaan dimasa yang sama. Bidan-bidan mengikat
seutas manik biru ke pergelangan tangan mereka sewaktu menjalankan tugas
membantu kelahiran satu roh manusia ke dunia ini.
SPINDEL
CARNELIAN
Manik batu ini ditemui di tapak kuno
Malaysia dan masih digunakan sehingga kini. Ia dikenali dengan tong ba’o buror ma’un oleh masyarakat
Kelabit, marik pelaga oleh masyarakat
Iban dan aki pula bagi masyarakat Lun
Bawang. Ia digunakan dalam stail lama topi manik Kelabit, lilit kepala kaum
Tahol dan Lun Bawang serta selimpang peluru bagi kaum Rungus. Pakaian Iban dari
daerah Kapit dibuat sebahagiannya menggunakan carnelian yang bulat dan panjang.
Manik ini pada asalnya merupakan satu produk industri jauhari India. Walau
bagaimanapun dalam kurun ke 19, industri manik Jerman mengimport batu dari
Brazil untuk menghasilkan ‘spindel carnelian’ bagi pasaran kolonial yang begitu
lumayan. Manik tiruan yang diperbuat daripada kaca Bohemia juga mudah
diperolehi menjelang akhir kurun 19 boleh didapati dalam pelbagai warna tidak
terhad kepada merah atau coklat sepanjang hampir 10 cm. Versi panjang dan kaca
manik ini lebih kerap ditemui di Sabah mungkin kerana hubungan dagangan
Syarikat Borneo Utara dengan pedagang-pedagang Jerman.
BENTUK
SFERA MERAH BATA
Wanita-wanita Lun Bawang
menggunakannya di bahagian tepi dan belakang topi manik atau tali pinggang.
Dari segi penglihatan, ia sama dengan logam kaca yang digunakan oleh mutisalah.
Ia dikenali dengan Bunan oleh
masyarakat Kayan, bau tina sia atau alet sia oleh masyarakat Lun Bawang dan let ma’on bagi masyarakat Kelabit. Kaum
Selakau menyimpan manik ini tetapi tidak memakainya dan ia digunakan dalam
menghapuskan kesan-kesan mimpi yang menakutkan.
MANIK
CHEVRON
Ia dikenali dengan purung manik kiking atau purung matu oleh masyarakat Kayan, bao mon oleh masyarakat Lun Bawang, manik burung tiong oleh masyarakat Melanau dan manik chunto pula bagi masyarakat Bidayuh. Manik chevron yang sejati
dihiris dari tiub kaca mengandungi lapisan bengkang bengkuk warna yang
bertentangan. Setelah hujungnya dicanai, corak yang cantik akan muncul. Chevron
‘palsu’ dihiasi dengan corak bengkang-bengkuk yang dikenakan di permukaannya.
Kedua-dua jenis manik ini popular di Borneo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan