Selasa, 31 Mei 2016

ASAL USUL PESTA KAAMATAN SUKU KAUM KADAZANDUSUN DI SABAH

ASAL USUL PESTA KAAMATAN (PESTA MENUAI) MASYARAKAT KADAZANDUSUN
OLEH : ILI SAZWANI YAHAYA

Pesta kaamatan ataupun Tadau Kaamatan merupakan salah satu perayaan yang penting dan bermakna kepada masyarakat Kadazan Dusun di Sabah. Ia telah dirayakan dari turun temurun dari zaman nenek moyang hingga hari ini. Tadau Kaamatan dirayakan setiap tahun pada bulan Mei dimana seluruh daerah di Sabah akan mengadakan Tadau Kaamatan di tempat masing-masing sebelum kemuncak perayaan tersebut di Hongkod Koisaan, Kadazandusun Cultural Association pada 30 dan 31 Mei.
Permulaan Tadau Kaamatan
Tadau Kaamatan dirayakan sebagai tanda kesyukuran kepada semangat padi iaitu Bambarayon selepas habis tuaian padi dan memperingati semangat pengorbanan Huminodun untuk menurunkan hujan. Pada ketika dulu, terdapat sebuah kampung yang sangat aman dan damai di mana mempunyai tanaman padi dan buah-buahan yang subur. Pada suatu hari, kemarau panjang telah melanda kampung tersebut dan menyebabkan semua tanaman padi dan buah-buahan mati dan sungai menjadi kering. Seluruh penduduk kampung merasa risau kerana mereka akan kehabisan makanan dan air jika kemarau masih berterusan.
Melihat keadaan yang teruk, Kinorohingan memanggil Bobolian untuk melihat keadaan tersebut. Kinorohingan dan isterinya, Sumundu merupakan seorang pemimpin di kampung tersebut dan mempunyai seorang anak perempuan iaitu Huminodun. Semasa dalam upacaranya, Bobolian tersebut memberitahu Kinorohingan dimana kemarau tersebut akan berhenti sekiranya tanah bumi di basahi dengan darah seseorang yang mempunyai cintakasih yang tinggi terhadap semua.
Huminodun yang turut serta dalam upacara tersebut mendengar syarat yang diberi oleh Bobolian tersebut. Huminodun yang sudah merasai segala penderitaan yang di alami oleh penduduk kampungnya membuat refleksi yang sangat mendalam terhadap syarat yang telah diberikan oleh Bobolian tersebut. Dia mahukan keamanan dan kegembiran kembali semula di kampung tersebut. Selepas membuat refleksi yang mendalam, Huminodun berjumpa dengan Kinorohingan dan Sumundu dan memberitahu mereka bahawa dia sanggup mengorbankan dirinya untuk menghentikan kemarau dan menurunkan hujan.
Kinorohingan dan Sumundu sangat sedih dengan permintaan Huminodun tetapi mereka tidak dapat menghalang kemahuannya. Keesokannya harinya, Kinorohingan dan Sumundu mengadakan perkumpulan dengan seluruh penduduk kampung dan memberitahu tentang permintaan Huminodun.
Hampir kesemua penduduk kampung tidak bersetuju dengan permintaan Huminodun dan memujuk Huminodun supaya membatalkan niatnya tetapi Huminodun tetap dengan keputusannya. Menjelang senja, Kinorohingan dan kesemua penduduk kampung membawa Huminodun ke satu tempat yang lapang. Sebelum memulakan upacara, Huminodun berkata kepada Kinorohingan dalam bahasa Dusun,“Ama, poluo iti turu rangoh dot parai, poluo hilo tangkob, koturu nopo rasam om, pasasadon noh ilo tuah dau” yang bermaksud, “Bapa, simpan tujuh tangkai padi ini dalam bakul tertutup dan tanam buah-buah padi ini apabila hujan turun”.
Selepas Huminodun menyerahkan tujuh tangkai padi tersebut, dia pun berlutut di tanah dan Kinorohingan pun menghunuskan pedangnya dan menujah pedang tersebut kepada Huminodun. Sebaik saja Huminodun rebah di tanah dan darahnya mengalir keluar dari tubuhnya ke tanah, hujan turun dengan lebatnya di sertai dengan guruh yang kuat membasahi bumi. Kinorohingan dan kesemua penduduk kampung bersyukur kerana hujan telah menamatkan penderitaan mereka kerana cintakasih yang telah diberikan oleh Huminodun kepada bumi.
Semenjak itu, kampung tersebut mempunyai tanaman padi yang sangat subur dan mereka merayakan upacara kesyukuran kepada semangat padi iaitu Bambarayon dan memperingati semangat Huminodun yang telah berkorban untuk mereka selepas habis musim menuai padi. Upacara kesyukuran ini di adakan sehingga ke hari ini dan menjadi tradisi dan kewajipan untuk di rayakan.



Tadau Kaamatan dulu dan sekarang
Mengimbas kembali kepada zaman kanak-kanak saya dimana kampung saya akan merayakan Tadau Kaamatan setiap tahun pada bulan Mei. Tadau Kaamatan di rayakan bersama dengan tujuh buah kampung. Pada waktu itu, saya masih ingat dimana Tadau Kaamatan di rayakan dengan penuh tradisi dimana mereka membuat upacara dengan menyembelih seekor babi untuk dipersembahkan kepada Bambarayon dengan tujuh tangkai padi yang di simpan dalam tangkob.
Selain itu, Sundait dalam bahasa Dusun yang bermaksud teka teki adalah menjadi sebahagian daripada perayaan Tadau Kaamatan dimana Sundait sangat berkait rapat dengan semangat padi.
Unduk Ngadau dalam bahasa Dusun yang bermaksud Ratu Cantik juga di pertandingkan dalam keadaan yang sederhana dimana seseorang Unduk Ngadau wajib mengetahui apakah makna sebenar untuk memperingati Huminodun yang mempunyai kecantikan yang luar biasa dari luar dan dalam.

Pelancaran pertandingan Unduk Ngadau peringkat Negeri Sabah. 

Selain itu, peralatan tradisional juga dimainkan seperti Gong dan Sompoton menandakan kegembiraan kita kerana mendapat hasil daripada tuaian. Tadau kaamatan di rayakan dengan sangat sederhana dan menyatukan kesemua penduduk kampung di tempat saya pada masa itu.

Gambar di atas menunjukkan seorang lelaki bermain alat muzik tradisional KadazanDusun iaitu Sompoton yang diperbuat daripada buluh sumbiling. 
Tahun demi tahun, pengunjung dapat merasakan perubahan demi perubahan dalam perayaan Tadau Kaamatan dimana mereka melihat fokus utama dalam perayaan tersebut adalah Unduk Ngadau dimana semua orang akan teruja dan tidak sabar menunggu siapakah pemenang Unduk Ngadau pada tahun ini. Iklan dan gambar-gambar peserta Unduk Ngadau juga di paparkan di laman web sosial di mana semua orang di kehendaki untuk membuat undian “ LIKE” terhadap gambar-gambar tersebut.
Semangat Humonodun
Menurut lagenda Huminodun, Huminodun mengorbankan dirinya kepada penduduk kampungnya yang menderita dan kesusahan di sebabkan kemarau yang berpanjangan. Ianya merupakan kecantikan sebenar yang seharusnya ditonjolkan daripada kecantikan yang berlandaskan kepada rupa paras. Pada zaman ini, sudah tentunya kita tidak boleh menjadi seperti Huminodun yang sanggup mengorbankan dirinya dengan darah, tetapi di sini saya ingin membawa pembaca berfikir, “apakah maksud pengorbanan seperti dalam cerita Huminodun”?.
Melalui refleksi saya, pengorbanan ini sangat meluas definisinya di mana seseorang sanggup mengorbankan masa terluangnya untuk membuat kerja-kerja dengan komuniti yang tertindas, seseorang yang sanggup menghadkan masanya dengan keluarga dan rakan-rakan untuk mengenal pasti isu-isu yang melanda, seseorang yang sanggup melepaskan dunia hiburan dan keseronokan untuk peka kepada keadaan semasa di sekeliling dengan membuang sikap tidak ambil peduli.
Ini merupakan antara contoh-contoh pengorbanan kecil yang boleh di lakukan seperti Huminodun. Saya amat mengharapkan agar pemenang Unduk Ngadau pada tahun ini akan menghayati maksud sebenar“PENGORBANAN” yang telah di buat oleh Huminodun.
Selain isu Unduk Ngadau, sejauh manakah semangat Bambarayon juga di hayati dalam Tadau Kaamatan. Bambarayon adalah semangat padi yang membantu para petani dalam menjaga tanaman padi dan memberikan kehidupan kepada mereka. Semangat Bambarayon sebati kepada tanah, sungai dan udara dimana kesemuanya ini berkait rapat antara satu sama lain.
Tanah tidak akan berfungsi tanpa air, kita tidak akan mendapat air tanpa sungai dan tanaman tidak boleh hidup tanpa udara oksigen. Kebergantungan elemen-elemen bumi antara satu sama lain ini telah membentuk satu kitaran sistem ekologi dimana jika salah satu elemen ini musnah akan menyebabkan kitaran tersebut tidak lengkap.
Kemusnahan kepada ekologi adalah seperti menghina dan tidak menghormati semangat Bambarayon yang mana kita rayakan setiap tahun dalam Tadau Kaamatan. Melalui semangat Bambarayon ini, kita seharusnya menghayati untuk menyayangi bumi dan menyedari kepentingannya semasa perayaan ini.
Proses perjalanan Tadau Kaamatan seharusnya mengisarkan kepada keadaan isu alam sekarang di mana pemusnahan sedang berlaku seperti pembalakan, pembinaan empangan mega, pembakaran hutan yang akan menghilangkan semangat Bambarayon. Melalui kesedaran ini, barulah kita dapat menghayati semangat Bambarayon sebenar daripada penghayatan melalui simbolik dengan merayakan Tadau Kaamatan dengan bertopengkan dua muka dimana kamu memuja Semangat Bambarayon tetapi pada masa yang sama mengambil bahagian dalam pemusnahan alam.
 Kesimpulannya, Tadau Kaamatan bukan setakat perayaan untuk memperingati semangat Bambarayon dan Huminodun, Tadau Kaamatan adalah perayaan yang seharusnya di renungkan dan di hayatikan dengan lebih mendalam apakah maknanya kita merayakan perayaan ini. Saya mengharapkan pembaca dapat membuat refleksi terhadap buah fikiran yang saya kongsikan melalui penulisan ini.

Tarian persembahan semasa Pesta Kaamatan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan