Khamis, 26 Mei 2016

SUNDUK PULAU JAMBONGAN
oleh: Norlaila Binti Baharuddin

Sunduk dan Sufi
     Islam telah bertapak di Pulau Jambongan sejak nenek moyang kaum Bajau menghuni Pulau Jambongan. Hal ini dibuktikan melalui kesan peninggalan sunduk lama kepunyaan saudara kembar yang bertanggungjawab dalam pembukaan Pulau Jambongan. Sunduk-sunduk di Pulau Jambongan berusia lebih 100 tahun. Islam membawa satu aliran ajaran yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Cabang ajaran itu dikenali sebagai sufi. Ilmu sufi adalah kefahaman terhadap diri.
     Ragam bentuk sunduk mengambil olahan daripada ajaran sufi. Sunduk melambangkan khalifah iaitu sifat ketua yang dianugerahkan oleh Pencipta kepada manusia. Setiap individu mempunyai ragam hidup tersendiri yang diberikan khas oleh Pencipta untuk dinikmati semasa hayatnya. Ragam hidupnya sentiasa berbeza daripada satu dengan lain. Hal ini menyebabkan sunduk di Pulau Jambongan tidak mempunyai persamaan antara satu dengan lain. Setiap satu sunduk unik dengan ragam hiasannya. Dalam Islam diajarkan bahawa wajib percaya kepada alam ghaib. Sesuatu yang ghaib memang ada dan kita pasti akan kembali pada alam itu. Kedudukan sunduk yang menegak merupakan konsep arah kembalinya manusia kepada Yang Satu. Segmen atas sunduk yang berbentuk tajam dan menghala ke atas melambangkan sebuah tempat yang infiniti.

Saiz Sunduk
     Setiap manusia mesti melalui proses pertumbuhan saiz tubuh badan. Secara logiknya, seorang bayi yang baru lahir bersaiz kecil. Seiring dengan peningkatan usia dan perkembangan otot-ototnya, saiz tubuh seorang bayi akan membesar dan menempuh peringkat kanak-kanak. Pada peringkat remaja pula, pertumbuhan saiz tubuh badan terus meningkat dan akhirnya akan ke peringkat dewasa dan tua. Perubahan fasa kehidupan manusia secara evolusi inilah yang menyebabkan saiz sunduk di Pulau Jambongan berbeza-beza.
     Saiz sunduk memainkan peranan penting sebagai pengenalpastian kedudukan individu di dalam masyarakat Bajau Suluk. Bentuk sunduk merupakan sesuatu bentuk yang bersifat nyata. Saiz sunduk mempengaruhi visual. Sesuatu yang bersifat besar dari aspek saiz serta dominann secara tidak langsung memberikan kesan kemegahan.

    Secara umumnya, ketinggian sunduk menunjukkan peringkat usia. Kubur seorang bayi ditandakan dengan sunduk yang berketinggian lapan inci hingga sekaki manakala sunduk kubur remaja lelaki berketinggian antara satu kaki hingga dua kaki. Ketinggian sunduk kubur jenazah dewasa lelaki atau perempuan pula ialah tiga kaki atau lebih.



Sunduk remaja lelaki




                                                        Sunduk dewasa

Bahan Sunduk
     Masyarakat Pulau Jambongan sangat prihatin dalam penggunaan bahan untuk menghasilkan sunduk. Bagi mereka, sesuatu yang dihasilkan untuk menjadi kenangan atau hadiah terakhir mestilah bersifat kekal. Kekal yang dimaksudkan ialah keupayaan bahan sunduk untuk bertahan lama dan bertahan dengan cuaca setempat. Oleh hal demikian kayu bulian merupakan bahan yang mampu bertahan dengan tempoh masa dan cuaca setempat. Boleh dikatakan bahawa semua sunduk di Pulau Jambongan menggunakan kayu bulian. Kayu bulian juga melambangkan status masyarakat Bajau Pulau Jambongan. Kayu bulian bukan sahaja digunakan untuk sunduk tetapi turut digunakan untuk seni binaan setempat sejak dahulu lagi. Istilah “bulian” berasal daripada perkataan “berlian” yang bermaksud berharga. Sunduk dan kayu bulian sangat sinonim dengan masyarakat Pulau Jambongan. Malah kayu bulian digunakan oleh kebanyakkan masyarakat Bajau di Sabah.

Motif dan Corak Sunduk Lelaki  
     Ukiran motif yang terdapat pada satah sunduk adalah berkaitan dengan persekitaran, budaya dan kehidupan Pulau Jambongan. Adaptasi dengan fauna yang terdapat di persekitaran serta kelengkapan berkaitan dengan adat yang digabungkan dan digunakan sejak turun-temurun untuk menghasilkan formasi corak yang menghiasi satah sunduk. Olahan dan corak ukiran pada sunduk menggambarkan pegangan adat yang kuat dalam masyarakat tersebut. Ragam reka coraknya berlainan daripada jenis corak suku Bajau yang lain. Malah ragam coraknya juga tidak mempunyai persamaan dengan ragam corak batu nesan orang Melayu. Walaupun subjek motif dalam adat Melayu hampir serupa seperti bunga cengkih, pucuk daun, daun keladi dan daun sireh. Motif yang digunakan mempunyai kriteria tersendiri.
     Antara motif sunduk lelaki yang terdapat di Pulau Jambongan termasuklah:



                                            Sunduk dengan ukiran loceng

a. Loceng
Ukiran loceng daripada kayu yang terdapat di hujung segmen atas sunduk melambangkan pangkat seseorang dalam masyarakat. Terdapat dua buah sunduk yang terbesar di Pulau Jambongan dikenali sebagai sunduk saudara kembar yang membuka Pulau Jambongan. Ukiran loceng melambangkan status “abang” daripada kembar bersaudara itu. Motif loceng melambangkan kesiagaan dalam apa-apa juga keadaan.


                                                Sunduk dengan ukiran layar kuncup

b. Layar Kuncup
Pengembaraan sebuah bahtera memerlukan sebuah layar dan sebatang tiang. Permukaan yang menggelembung menunjukkan sebuah layar yang kemas digulung dalam keadaan kuncup. Motif layar diukir pada sunduk.

Sunduk dengan ukiran daun sireh

c. Sireh Kembar dan Daun Sirih
Sireh merupakan antara bahan peralatan yang sering digunakan dalam adat masyarakat Bajau Suluk Pulau Jambongan. Sireh dalam kehidupan masyarakat Bajau Suluk digunakan dalam perubatan, makanan, majlis keramaian dan bahan kegunaan harian. Motif daun sireh yang disusun rapi seperti di dalam tepak sireh yang dijadikan hantaran dalam majlis perkahwinan. Daun sireh juga menggambarkan yang si mati berkemungkinan merupakan seorang yang gemar makan sireh sewaktu hidupnya.
  
d. Bunga Cengkih
Bunga cengkih menghasilkan sejenis herba yang mengeluarkan haruman yang menyegarkan. Dalam masyarakat Bajau Pulau Jambongan, cengkih digunakan dalam beberapa jenis makanan tradisi. Bunga cengkih juga sebahagian bahan yang digunakan dalam rokok. Motif bunga cengkih melambangkan aroma.


e. Pucuk Muda 
Motif pucuk muda merupakan pucuk boleh dimakan yang menjadi sumber bahan makanan penting dalam kehidupan harian. Motif ini berkait dengan pucuk yang bersifat baharu. Motif ini menyampaikan maksud yang tersirat iaitu “penghidupan yang baharu”.

f. Cangkuk Layar
Pada bahagian pangkal silinder sunduk terbentuk motif cangkuk layar. Cangkuk layar digunakan untuk mengikat layar kapal di pangkal tiang layar. Motif ini melambangkan kesinoniman masyarakat Bajau dengan pelayaran.




                                       Sunduk dengan ukiran kelopak bakau
g. Kelopak Bakau
Kayu bakau dan masyarakat Bajau mesti bersatu. Hal ini demikian kerana kebanyakan seni bina masyarakat Bajau menggunakan kayu bakau. Malah kayu bakau banyak memberikan sumbangan yang besar dalam kehidupan mereka. Kayu bakau digunakan untuk memasak dan membuat pelantar rumah, reban ayam dan sebagainya. Motif ini terletak di bahagian dasar sunduk kerana mengikut kesesuaian sifat kayu bakau yang menjadi penyokong dalam kehidupan masyarakat Bajau.

Motif dan Corak Sunduk Perempuan
      Corak pada permukaan sunduk perempuan bersifat simetrikal dan ragam olahannya lebih bersifat organik. Kebanyakan sunduk perempuan diadaptasikan daripada flora dan fauna yang terdapat di persekitaran kehidupan masyarakat Bajau Pulau Jambongan. Corak yang simetrikal ini melambangkan “keseimbangan dalam kesempurnaan” kejadian seseorang manusia.
      Sifat perempuan yang lembut ditafsirkan dengan ukiran “lemah gemalai” garisan organik dalam olahan motif dan coraknya. Kedudukan corak sunduk hanya berfokus pada bahagian atas sunduk manakala bahagian tengah sunduk dibiarkan kosong. Perletakan corak adalah seperti sebatang pokok yang rimbun.  



                                  Kedudukan corak sunduk perempuan

Antara motif sunduk perempuan termasuklah:

a. Kacip Pinang
Motif kelakati atau kicap pinang melambangkan kesegaran dan identiti seorang perempuan.

b. Bunga Cengkih
Motif bunga cengkih melambang benih zuriat kandungan perempuan yang tiada pada seorang lelaki.

c. Silang Emas Pinang Muda
Motif Silang Emas Pinang Muda melambangkan kesuburan zuriat dan pengharapan terhadap ketinggian darjat zuriat-zuriatnya. Doa ini bukan sahaja semasa hayatnya tetapi sehingga ke liang lahad tanda kasih seorang ibu.

d. Bukud
Motif bukud atau punggung labuh merupakan lambang keindahan seorang perempuan yang sentiasa reda. Seorang isteri semasa hayatnya wajib mematuhi suami seperti yang diwajibkan dalam agama Islam. Motif ini diperlihatkan melalui lentuk garisan yang menunduk ke bawah.




e. Teratai Kuncup
Teratai Kuncup melambangkan budi bicara seorang perempuan yang bersopan santun dalam melahirkan kata-kata. Peletakan motif Teratai Kuncup di bahagian dasar sunduk melambangkan kata-kata halus daripada seorang perempuan itu yang menjadi sumber tenaga dalam kejayaan.



f. Motif Rambut
Motif ngingkot tekok diadaptasikan daripada rambut yang didandan menjadi tocang. Kaum wanita Bajau Pulau Jambongan menyimpan rambut sebagai mahkota. Rambut perlu dijaga kerana penjagaannya akan menyerikan penampilan seseorang perempuan. Ikatan rambut yang panjang menjadi penghias gaya mendandan ketika itu.

Teknik dan Gaya Ukiran
Ukiran kayu dibuat dalam pelbagai teknik. Walau bagaimanapun, penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung kepada kebolehan dan kemahiran kayu. Terdapat dua teknik ukiran sunduk iaitu tebuk timbul dan tebuk terus manakala ukiran sunduk juga terdiri daripada bentuk bujang, lengkap dan pemidang.

Peralatan dan Kelengkapan Mengukir
Peralatan mengukir kayu yang lengkap adalah penting. Antara kelengkapan mengukir termasuklah pahat, pemukul kayu, batu asah, ijuk, pensil, jangka lukis, pita pengukur dan kain perca. Kegunaan setiap peralatan ini berbeza. Pahat pengukir kayu digunakan untuk membentuk corak motif pada permukaan kayu.
     Sunduk Pulau Jambongan mempunyai identiti tersendiri dalam kelompoknya. Sunduk merupakan ekspresi ideologi pemikiran yang tulen. Ketulenan ragam hias sunduk masyarakat Bajau Suluk Pulau Jambongan terserlah daripada permulaan falsafah dan pemilihan bahan kepada penghasilan corak dan motif di permukaan sunduk.
     Ragam hias sunduk Pulau Jambongan merupakan penceritaan mengenai keperkasaan dan keagungan masyarakat Bajau dalam menilai keindahan yang dianugerahi Allah. Kisah manusia dan pengembaraan menjadi motif utama sesebuah sunduk masyarakat Bajau Pulau Jambongan. Masyarakat Bajau amat terkenal dengan kisah perjalanan hidup mereka sebagai pengembara laut yang disebut sea gypsy oleh Shater dalam bukunya, The Bajau Laut: Adaptation, History and Fate in a Maritime Fishing.  
     Motif ukiran timbul serta ragam bentuk sunduk yang diukir memperlihatkan ketinggian kemahiran serta penglihatan jitu mengukir sunduk dalam penghasilannya. Motif, bentuk dan saiz sunduk mengisahkan identiti, kehidupan dan kehebatan masyarakat Bajau Pulau Jambongan.











































MANIK BORNEO
oleh: Norlaila Binti Baharuddin

CAKERA CENGKERANG
Kebiasaanya manik terawal di Malaysia dibuat dari cengkerang dan masih disukai ramai. Telok Kimanis di Sabah merupakan pusat pembuatan manik cengkerang yang terkenal suatu masa dahulu. Pada awal kurun ke 20, seorang pengawal Syarikat Berneo Utara di Beaufort mencatat dan membantah kedatangan orang Iban dari Sarawak untuk membeli manik cakera cengkerang untuk didagangkan. Beberapa pakaian wanita Kadazandusun iaitu skirt, jaket dan hud dihias serba indah dengan cengkerang. Cengkerang pula dianggap sejuk  dan boleh menghindarkan demam panas. Dukun kaum Bidayuh menggunakan manik cengkerang untuk memulihkan bayi daripada menggigil atau terkejang-kejang. Tali pinggang yang diperbuat daripada lima hingga tujuh jalur cakera cengkerang begitu dihargai oleh para dukun.

MANIK CENGKERANG BESAR

                          
                                                    

Manik ini digunakan dalam pembuatan tali pinggang dan tali leher. Ia dikenali dengan ba’o ulum atau ulub oleh masyarakat Kelabit manakala tebalu oleh masyarakat Lun Bawang. Manik jenis ini dikatakan datang dari Brunei. Manik cengkerang terbesar di Muzium Sarawak yang panjangnya melebihi 10 cm adalah seutas hiasan leher amat berat dan jarang sekali ditemui.

MANIK STRAW MINUMAN
        




Ia dikenali dengan Bao tulong buror oleh masyarakat Lun Bawang dan ba’o rawir  bagi masyarakat Kelabit. Manik ini biasa digunakan dalam pembuatan rantai leher dan tali pinggang. Manik straw minuman berbentuk kaca licin dan bahagian tiubnya panjang dan nipis. Manik ini merupakan manik yang paling tua di sekitar borneo. Beberapa butir telah ditemui dalam konteks permulaan zaman logam dalam Gua Madai di Timur Sabah.

DONUT KUNING
Manik ini sangat popular di kalangan orang Ulu yang menggunakannya untuk bahagian tepi rantai leher. Ia mempunyai nilai ritual yang tinggi bagi menunjukkan sebutir manik yang tua. Keluarga orang kaya turut menghadiahkan manik donut kuning sebagai tanda pertunangan bersama-sama lukut yang lebih mahal dan berwarna-warni. Ini adalah satu-satunya  manik yang diketahui telah diperbuat di Borneo pada awal kurun ke 20. Manik kuning yang diimport ditumbuk dalam lesung besi. Batu halus tersebut kemudiannya diisi dengan berhati-hati dalam acuan tanah liat dan dibakar dalam relau di kawasan belakang rumah. Setelah kaca melekur, manik yang masih likat ditebuk dengan mengunakan sebatang penebuk besi.

CERI KUNING

                   
       
                            
Manik ini merupakan bahan utama yang digunakan oleh kaum Lun Bawang. Ia dikenali dengan bao alet birar mon atau alet mon meching. Manik kuning telah ditemui di Semenanjung Malaysia dan ia kemungkinan besar berasal dari negeri Cina.

KACANG TANAH KUNING
Manik ini dikenali dikeseluruhan Borneo. Ia dipanggil dengan let alai oleh masyarakat Lun Bawang dan manik pasin oleh masyarakat Melanau. Ia terutamanya dianggap paling berharga oleh kaum Kelabit dan Lun Bawang untuk dibuat rantai leher manakala kaum Melanau menggunakannya dalam menghiasi kelepet ‘tunik manik’ mereka. Manik ini dikatakan berasal dari negeri Cina dan dihasilkan semata-mata untuk tujuan eksport.

SFERA CARNELIAN
Manik ini digunakan oleh kaum Tahol dan suku kaum berkaitan di Sabah untuk membuat lilit kepala atau tali pinggang. Ia berukuran dari sekecil biji kacang hingga garis pusatnya melebihi 25 mm dan berwarna coklat kemerahan. Manik ini dianggap tua, berkuasa dan melindungi si pemakai.

TAHANG BIRU

                            

Manik ini berwarna dari biru gelap hinggalah hampir ke firus jernih, berbentuk tahang dengan sisi yang cembung sedikit. Ia ditemui di tapak kuno seperti ‘Ur’ iaitu sebagai bahan  paling laris dan dihasilkan di pelbagai tempat di seluruh dunia. Manik ini amat dihargai oleh kaum Kelabit di Sarawak yang mempunyai berbagai nama bagi setiap manik yang berbeza dari segi gred atau nada. Kaum Selakau yang tinggal di Barat laut Sarawak dan Kalimantan menganggapnya sebagai satu-satunya manik baik. Ibu-ibu yang menyusukan anak memakai rantai manik supaya bayi boleh memegang manik biru tersebut dan menyerap makanan fizikal dan kejiwaan dimasa yang sama. Bidan-bidan mengikat seutas manik biru ke pergelangan tangan mereka sewaktu menjalankan tugas membantu kelahiran satu roh manusia ke dunia ini.

SPINDEL CARNELIAN
Manik batu ini ditemui di tapak kuno Malaysia dan masih digunakan sehingga kini. Ia dikenali dengan tong ba’o buror ma’un oleh masyarakat Kelabit, marik pelaga oleh masyarakat Iban dan aki pula bagi masyarakat Lun Bawang. Ia digunakan dalam stail lama topi manik Kelabit, lilit kepala kaum Tahol dan Lun Bawang serta selimpang peluru bagi kaum Rungus. Pakaian Iban dari daerah Kapit dibuat sebahagiannya menggunakan carnelian yang bulat dan panjang. Manik ini pada asalnya merupakan satu produk industri jauhari India. Walau bagaimanapun dalam kurun ke 19, industri manik Jerman mengimport batu dari Brazil untuk menghasilkan ‘spindel carnelian’ bagi pasaran kolonial yang begitu lumayan. Manik tiruan yang diperbuat daripada kaca Bohemia juga mudah diperolehi menjelang akhir kurun 19 boleh didapati dalam pelbagai warna tidak terhad kepada merah atau coklat sepanjang hampir 10 cm. Versi panjang dan kaca manik ini lebih kerap ditemui di Sabah mungkin kerana hubungan dagangan Syarikat Borneo Utara dengan pedagang-pedagang Jerman.

BENTUK SFERA MERAH BATA



Wanita-wanita Lun Bawang menggunakannya di bahagian tepi dan belakang topi manik atau tali pinggang. Dari segi penglihatan, ia sama dengan logam kaca yang digunakan oleh mutisalah. Ia dikenali dengan Bunan oleh masyarakat Kayan, bau tina sia atau alet sia oleh  masyarakat Lun Bawang dan let ma’on bagi masyarakat Kelabit. Kaum Selakau menyimpan manik ini tetapi tidak memakainya dan ia digunakan dalam menghapuskan kesan-kesan mimpi yang menakutkan.

MANIK CHEVRON

Ia dikenali dengan purung manik kiking atau purung matu oleh masyarakat Kayan, bao mon oleh masyarakat Lun Bawang, manik burung tiong oleh masyarakat Melanau dan manik chunto pula bagi masyarakat Bidayuh. Manik chevron yang sejati dihiris dari tiub kaca mengandungi lapisan bengkang bengkuk warna yang bertentangan. Setelah hujungnya dicanai, corak yang cantik akan muncul. Chevron ‘palsu’ dihiasi dengan corak bengkang-bengkuk yang dikenakan di permukaannya. Kedua-dua jenis manik ini popular di Borneo.



MURUT SERUDONG DAN KERAMAT
oleh: NORLAILA BT BAHARUDDIN

    Mungkin tidak banyak orang yang mengenal etnik Murut Serudong. Hal ini demikian kerana kebanyakan masyarakat Murut tinggal di kawasan pendalaman Sabah iaitu Keningau, Sook, Nabawan, Persiangan, Sipitang dan sebagainya. Etnik Murut Serudong merupakan satu-satunya sub etnik Murut yang boleh ditemui bahagian pantai timur Sabah iaitu Tawau dan Kalabakan. Faktor utama penghijrahan masyarakat Serudong ke kawasan pantai timur Sabah bermula apabila berlaku serangan penyakit kulit yang amat teruk sehingga menyebabkan banyak orang kampung yang menjadi cacat atau kudung (tangan dan kaki) dan akhirnya mati. Penyakit tersebut sukar diubati serta menyebar dengan amat cepat.
   Perkataan “Serudong” berasal daripada perkataan “kudung” iaitu kudung kaki atau tangan kerana jangkitan penyakit tersebut. Sekiranya berlaku kematian di kampung itu akibat penyakit tersebut, maka orang kampung akan segera meninggalkan kampung tersebut tanpa menghiraukan mayat yang bergelimpangan kerana takut dijangkiti oleh penyakit itu. Kumpulan yang terselamat berhijrah hingga ke kawasan pedalaman Sandakan. Penghijrahan seterusnya berlaku sehingga ke hulu Sungai Serudong di kawasan Tawau.
    Pada tahun 1963, iaitu ketika Konfrontasi Malaysia – Indonesia, Tuan Bakai atau Kee Abu Bakar bersama-sama dengan kerajaan British meminta agar etnik ini dipindahkan ke kawasan Apas Balung. Perpindahan tersebut adalah untuk menjamin keselamatan orang Serudong daripada menjadi mangsa perang di kawasan sempadan Malaysia – Indonesia. Etnik Tidung yang mendiami kawasan hilir Sungai Serudong pula dipindahkan ke kawasan Kuala Merotai.
   Apabila orang Murut Serudong tidak berpuas hati dengan keadaan di Apas Balung, pemimpin masyarakat Serudong iaitu KK Sinut merancang untuk kembali ke hulu Sungai Serudong yang merupakan petempatan lama mereka. Namun memandangkan keadaan pada masa tersebut tidak menjamin keselamatan mereka untuk pulang ke kampung halaman, maka orang Serudong terus tinggal di Kalabakan sehingga tahun 1967. Pada tahun 1968, mereka akhirnya pulang ke kawasan Serudong  iaitu petempatan asal orang Tidung. Sehingga hari ini, petempatan orang Serudong di Tawau ialah di hilir Sungai Serudong dan Apas Balung, Tawau.
     Menyentuh kisah keramat dalam kalangan masyarakat Serudong, kisah ini berkisarkan kesaktian yang dimiliki oleh nenek moyang mereka. “Keramat” merupakan nenek moyang orang Serudong yang mempunyai ilmu kesaktian yang luar biasa. Dalam bahasa Murut, keramat dinamakan lobong atau kuburan orang sakti. Pada zaman dahulu, ada sebuah batu yang sangat besar dan tinggi sehingga cahaya matahari tidak dapat menembusi kawasan penempatan orang Serudong. Hal ini sangat menyusahkan orang kampung yang tinggal di kawasan tersebut. Menurut Yusup, ada tujuh orang adik-beradik yang pergi ke kampung tersebut untuk merobohkan batu itu. Walau bagaimanapun, mereka tidak berjaya merobohkan batu tersebut itu dengan menggunakan pangkal kaki landak dan bacaan jampi mentera. Pada hari ini, kawasan tersebut dikenal sebagai tinagat yang bermaksud ditebang. 
    Dalam peristiwa batu tersebut sedang rebah ke bumi, si adik bongsu telah diarahkan untuk memotong batu tersebut. Malangnya, jari kelingking si adik bongsu tersepit di celah batu yang pecah itu. Si adik yang cedera parah dan dalam keadaan kesakitan dibawa pulang ke Timbalunan. Walau bagaimanapun, si adik bongsu tidak lagi dapat diselamatkan dan akhirnya meninggal dunia. Dia dikebumikan di Timbalunan. Sebelum adik bongsu meninggal dunia, dia berpesan agar dikebumikan dengan menggunakan keranda kayu yang ditanam secara menegak. Setiap tiga tahun, kawasan “keramat” adik bongsu akan dibersihkan oleh orang-orang terpilih sebagaimana yang diwasiatkannya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
    Selain kisah perobohan batu yang besar dan tinggi, terdapat banyak lagi kisah yang membezakan keramat masyarakat Serudong daripada orang biasa. Salah satu kisah kesaktian masyarakat Serudong ialah kehandalan mereka berjalan dengan lebih cepat berbanding dengan orang biasa. Dikatakan, orang yang mempunyai kesaktian itu dapat pergi ke satu tempat yang jauh seperti ke bandar untuk membeli barangan keperluan harian dalam masa sehari sahaja berbanding dengan orang biasa yang mengambil masa berminggu-minggu untuk balik ke kampung.
    Kuburan orang yang memiliki keramat haruslah dibersihkan mengikut wasiat si mati. Sekiranya mereka tidak berbuat demikian, dipercayai pelbagai bencana akan menimpa penduduk kampung seperti banjir, kemarau panjang dan sebagainya. Sekiranya mereka mempunyai hajat kepada keramat tersebut, mereka akan pergi ke kubur untuk membersihkan kawasan tersebut dan dipercayai keramat tersebut akan menunaikan permintaan mereka. Contohnya, jika kemarau panjang melanda kampung tersebut dan tanam-tanaman mereka tidak menjadi, maka mereka akan menghajatkan hujan untuk membolehkan tanam-tanaman mereka tumbuh dengan subur. Terdapat dua buah kubur keramat orang Serudong iaitu di Persiangan dan di Ulu Serudong, Tawau.
      
                 


       
Generasi muda Murut mempamerkan aksi menari tarian tradisional kaum Murut

ADAT RESAM DAN PANTANG LARANG ETNIK BONGGI
oleh: Norlaila bt Baharuddin

   Etnik Bonggi merupakan masyarakat minoriti yang mendiami Pulau Banggi di Kudat, Sabah yang terletak di bahagian paling utara tanah besar Pulau Borneo. Sebahagian besar etnik Bonggi hidup secara tradisi. Pengaruh luar ternyata tidak banyak memberikan kesan terhadap corak hidup mereka. 
    Pulau Banggi ialah pulau yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 450 hingga 460 kilometer persegi. Pulau Banggi terletak di latitud 70 darjah 15 Utara dan merangkumi sebahagian daripada Daerah Kudat, Sabah. Pulau Banggi merangkumi kawasan sepanjang 31 kilometer dan 21 kilometer lebarnya. Kawasan tertinggi ialah Gunung Sinambung dengan ketinggian 550 meter dari paras laut. Pulau bersebelahan dengan Pulau Banggi yang terletak du bahagian Barat ialah Balambangan. Secara geologinya kedua-dua pulau ini adalah sebahagian daripada tanah besar Borneo.
    Pulau ini terletak di kawasan paling utara Borneo dan bersempadan dengan perairan Filipina di sebelah utara. Pulau Banggi diasingkan daripada tanah besar Sabah oleh Selat Banggi Selatan. Pusat pentadbiran Daerah Kecil Banggi di Karakit, Pulau Banggi terletak sejauh 44 kilometer dari Pusat Pentadbiran Daerah Kudat. Perjalanan melalui bot dari Kudat ke Karakit memakan masa 2 jam.

Kepercayaan Animisme
   Pagan mempunyai kaitan sepenuhnya dengan kepercayaan animisme. Kepercayaan animisme ialah satu bentuk amalan yang mempercayai bahawa segala benda (pokok, batu, angin dan lain-lain) mempunyai semangat atau roh. Roh ini dipercayai terdiri daripada makhluk halus yang menghuni tempat-tempat tertentu seperti sungai, batu, pokok kayu, rumah, dapur, tanah, langit dan lain-lain yang boleh mengganggu dan mendatangkan musibah kepada manusia apabila manusia mengganggu tempat tinggal mereka.
   Kepercayaan animisme ini masih menebal dalam kalangan etnik Bonggi kerana kebanyakkan mereka masih pagan atau belum beragama. Walau bagaimanapun hanya sejumlah kecil etnik Bonggi telah memeluk agama Islam dan Kristian. Etnik Bonggi yang memeluk Islam boleh ditemui di Kampung Limbuak, Balambangan, Sabur dan Karakit manakala yang beragama Kristian boleh ditemui Kampung Palak dan Kapitangan (Pasir Hitam).
      Kepercayaan animisme etnik Bonggi menjadi asas terpenting dalam pembentukan adat dan pantang larang mereka. Amalan pantang larang etnik Bonggi wujud melalui pelbagai kaedah perubatan untuk merawat penyakit secara tradisional. Pada zaman dahulu, sebelum hospital dan perubatan moden wujud di Pulau Banggi, kalangan ernik Bonggi akan mengadakan ritual untuk mengubati sesuatu penyakit. Ritual ini dikenali sebagai bejin. Mereka yang memerlukan rawatan ini akan memanggil bomoh untuk melakukan ritual tersebut untuk menyembuhkan penyakit atau masalah kesihatan yang mereka hadapi.
     Dalam ritual ini, bomoh akan memanggil hantu untuk menyembuhkan penyakit tersebut, diiringi oleh paluan gong iaitu betegunggu. Ritual tersebut akan dilangsungkan dari pukul tujuh malam hingga 12.00 tengah malam dan berterusan ke Subuh iaitu dari pukul tiga hingga lima pagi.
      Bagi kes penyakit yang tidak begitu serius, bomoh hanya akan mengambil daun selasih, kusur atau selibangun, kemudian dibaca jampi dan seterusnya disapu di bahagian tubuh yang bermasalah. Adakalanya, pesakit akan diberikan minum herba yang direbus bergantung kepada keadaan pesakit.
    Jika penyakit tidak juga sembuh walaupun selepas tiga malam betegunggu, ritual itu akan diulang selang tiga hari selepas itu. Bagi penyakit yang serius, bomoh akan menebuk hujung jari dengan jarum atau menggunakan pisau untuk mendapatkan darah pesakit tersebut. Darah tersebut akan disapu di bahagian perut pesakit. Walau bagaimanapun, terdapat pantang larang yang perlu dipatuhi dalam ritual ini. Antaranya termasuklah tidak boleh makan kunyit atau ayam dan tidak boleh berpakaian cantik. 
     Bagi menjayakan kelangsungan hidup, untuk mendapatkan api, mereka akan membuat bahan api yang diperbuat daripada kayu yang dinamakan firiane. Mereka melakukan kesalahan seperti mencuri akan dibawa ke muka pengadilan menghadap ketua kampung atau nguhume. Jika sabit kesalahan, pelaku akan didenda dengan membayar sejumlah wang kepada pihak yang mengalami kecurian. Antara pantang larang etnik Bonggi yang lain termasuklah:

Ø  Larangan membawa bambu, daun nipah dan buah pinang serta tandannya masuk ke dalam rumah kecuali untuk tujuan ritual.
Ø  Larangan singgah di rumah kawan selepas balik dari tanah perkuburan.
Ø  Larangan membawa masuk ayam ke dalam rumah.
Ø  Larangan membuat ketupat kecuali untuk tujuan sembahyang.
Ø  Larangan membawa gong atau abandil masuk ke dalam rumah kecuali rumah tempat sembahyang.
      
     Pelaku yang melanggar pantang larang ini akan dikenakan sogit atau denda sebiji celepa tembaga bersaiz lapan inci atau sejengkal. Demikianlah kehidupan tradisional etnik Bonggi yang terikat dalam pelbagai adat dan ritual yang telah diwarisi daripada nenek moyang dan akan diwariskan pula kepada generasi akan datang. Begitulah hakikatnya tradisi pewarisan amalan masyarakat ini.

Kelahiran
   Pantang larang dalam etnik Bonggi berkaitan kelahiran bermula sejak peringkat seseorang wanita itu mengandung. Antara pantang larang ketika seseorang wanita itu mengandung adalah seperti berikut:

  •  Tidak boleh melangkah kaki wanita yang sedang mengandung. Jika terlangkah dipercayai anak yang dilahirkan nanti akan mengikut perangai orang yang melangkah kaki ibunya.
  •   Tidak boleh memarahi wanita yang sedang mengandung, takut nanti wanita itu akan menguus iaitu sukar melahirkan anak. Hal ini akan mengakibatkannya berada dalam keadaan yang amat sakit apabila hendak bersalin.  
Pantang larang bagi ibu yang baru bersalin pula adalah seperti berikut:

  •          Tidak boleh keluar rumah selama 44 hari.
  •      Tidak boleh mandi selepas bersalin. Si ibu hanya dibenarkan mandi selepas tiga hari selepas bersalin. Si ibu akan mandi setiap tiga hari selepas itu untuk punggil (kambuh)
  •   Tali pusat bayi yang baru lahir mesti dipotong oleh bidan kampung dengan menggunakan buluh yang telah ditajamkan.

Perkahwinan
     Pada masa dahulu, adat yang dikenali sebagai nguhume (hukum) dijadikan landasan untuk membicarakan sesuatu kesalahan yang berkaitan dengan perkahwinan. Apabila seorang lelaki etnik Bonmggi mencari pasangan, dia akan meminang gadis pilihannya bersama ketua Kampung yang dilantik oleh penduduk kampung. Sekiranya pihak perempuan bersetuju, maka tarikh perkahwinan akan ditetapkan. Berian semasa perkahwinan adalah dalam bentuk duit, toog (gong) dan gadur (sejenis keris lama).
     Dalam tempoh pertunangan, pasangan dilarang berjalan berdua-duaan tanpa keizinan ibu bapa pihak perempuan. Menurut buku Beberapa Pantang Larang Suku Kaum Anak Negeri Sabah Bahagian Satu, jika larangan ini tidak dipatuhi oleh pihak lelaki, maka pihak lelaki dikenakan sogit atau denda sebiji celepa bersaiz sejengkal dan sebiji sumbul.
    Pasangan yang menyukai antara satu sama lain, tetapi belum bertunang dilarang berjalan berdua-duaan. Jika arahan ini tidak dipatuhi maka pelaku lelaki dikenakan sogit atau denda dua biji celepa. Sogit atau denda hendaklah diserahkan kepada pihak perempuan. Kedua-dua pihak juga dikehendaki membayar sogit sebanyak RM 400.00.
      Lelaki dan perempuan bujang yang didapati berjalan berdua-duaan pada waktu malam akan ditangkap basah kerana melakukan kesalahan yang disebut suat sala. Jika telah tidur bersama, mereka mesti berkahwin dan akan melalui perbicaraan nguhume. Dalam kehidupan berkeluarga pula suami atau isteri hendaklah memberikan sejumlah wang mengikut kemampuan tanpa had tertentu kepada pasangannya yang hendak menggunting rambut. Hal ini demikian kerana untuk mengelakkan slaie iaitu denda adat seperti sogit.
    Lelaki etnik Bonggi yang berkahwin untuk kali kedua dan mempunyai anak mesti memberikan wang kepada anak dan isteri kerana takut terkena keluanggane atau sakit. Kegagalan untuk berbuat demikian menyebabkan dia terpaksa melalui perbicaraan nguhume.
    Larangan yang perlu dipatuhi berkaitan perkahwinan di bawah umur seperti yang terdapat dalam buku Beberapa Pantang Larang Suku Kaum Anak Negeri Sabah (Bahagian Satu) ialah pasangan yang belum cukup umur tetapi ingin berkahwin, perlu berbincang dengan ketua kampung terlebih dahulu. Jika larangan ini tidak dipatuhi, maka ibu bapa kedua-dua belah pihak akan dikenakan sogit atau denda sebiji gong tatog.

Kematian
Terdapat beberapa pantang larang dalam kalangan etnik Bonggi seperti yang disebutkan dalam buku Beberapa Pantang Larang Suku Kaum Anak Negeri Sabah Bahagian Satu (DBPCS), 2008:18). Antaranya termasuklah:

  •    Ahli keluarga si mati dilarang bekerja dan mandi selama tiga hari bermula dari hari berlakunya kematian. Setelah tempoh larangan ini tamat, ahli keliuarga si mati   dikehendaki bercukur kepala (lelaki) dan menggunting hujung rambut (perempuan).
  •         Ahli keluarga si mati dilarang mengunjungi kubur si mati selama setahun kecuali jika ada ahli keluarga si mati meninggal dunia dalam tempoh tersebut.
  •      Ahli keluarga si mati dilarang mengorek atar membakar kubur sama ada dengan sengaja ataupun tidak sengaja dalam tempoh tersebut. 
    Jika larangan berkaitan kematian ini tidak dipatuhi, maka pelaku akan dikenakan sogit atau denda sebiji celepa. Celepa itu hendaklah diserahkan kepada si mati. Berdasarkan huraian dan penjelasan yang sudah dikemukakan berhubung adat resam dan pantang larang etnik Bonggi, ternyata ia mempunyai kepentingan yang sangat releven dengan etnik tersebut. Adat resam dan pantang larang yang mereka warisi ini membolehkan mereka dapat melalui kehidupan yang harmoni, aman dan saling bekerjasama.   

                     

                                          Rumah tradisional etnik Bonggi


Selasa, 24 Mei 2016

CATATAN MAGIC REALISME

oleh: Hani Najwa Mohd Radzi

Magic realism (sering disebut juga sebagai magical realism atau marvelous realism) dalam dunia literatur adalah cabang kecil genre fantasi. Dengan setting dan tema yang jauh berbeza dengan tema-tema kisah fantasi umumnya. Sub-genre ini digolongkan sebagai fantasi kerana novel-novel jenis ini mempunyai setting cerita yang sangat tidak logik dan kadang kala ada unsur mitos sejarah. Ada juga novel romance atau historic romance atau sekedar kisah slice of life, ternyata masih ada unsur-unsur gaib, unrealistis dan fantasi.
Dalam novel magical realism, kita akan menemukan elemen-elemen fantastik memasuki dunia realistik. Genre ini menjadi satu cara bagi pengarang untuk mengkritik konsep umum rasional secara berlebihan, yang mengakibatkan terpisahnya dunia fantasi dengan realiti.

Definisi
Ini adalah beberapa defenisi tentang magic realism dari beberapa tokohnya:
"magic realism is fantasy written by people who speak Spanish"
(Gene Wolfe)
mag·ic re·al·ism (noun):
a literary or artistic genre in which realistic narrative and naturalistic technique are combined with surreal elements of dream or fantasy.

magic realism (noun):
a style of painting and literature in which fantastic or imaginary and often unsettling images or events are depicted in a sharply detailed, realistic manner.
"....is like a polite way of saying you write fantasy."

(Terry Pratchett)

Ringkasnya, magic realism didefinisikan sebagai “what happens when a highly detailed, realistic setting is invaded by something too strange to believe.” Jadi dapat disimpulkan baghawa walaupun ada perbezaan kecil tentang konsepnya, magic realism dapat ditonjolkan dengan adanya ciri yang memerima unsur-unsur magis dalam latar dunia nyata.

Sejarah dan Asal-usul Genre
Khazanah literatur magic realism bermula di Amerika Latin di sekitar pertengahan era 1920-1930an, semasa penulis asal Cuba, Alejo Carpentier dan penulis Venezuela Arturo Uslar-Pietri kembali dari Paris dan membawa pengaruh rasa artistik daratan Eropa, Surrealism. Gaya ini kemudian bercampur dengan akar budaya latin yang masih berpegang pada hal-hal gaib dan supranatural, serta bercampur dengan keresahan politik. Muncullah sebuah gaya menulis sastra baru berkembang di lingkaran sastrawan Buenos Aires.


112th Birthday of Jorge Luis Borges - Google Doodle 24 Agustus 2011

Jorge Luis Borges  (1899 - 1986) adalah salah seorang penulis yang terinspirasi oleh gaya ini dan kemudian menerbitkan karya magic realism pertamanya, Historia universal de la infamia pada tahun 1935. Genre ini kemudian mencapai puncaknya di sekitar tahun 1940 hingga 1950, dengan pusat perkembangan di Argentina.

Ciri-Ciri Magic Realism dalam Literature
Ada beberapa ciri khusus yang membezakan magic realism dari genre fantasi. Walaupun tidak begitu ketara perbezaannya, tapi dominan muncul dalam karya literatur sub genre ini:

Fantastical elements

Magic realism mencitrakan kejadian-kejadian fantasi dalam sebuah suasana realistik. Sub-genre ini memadukan fabel, cerita rakyat dan myth (dengan semua unsur-unsur fantasinya) dalam kedekatan kondisi sosial kontemporari. Karya Neil Gaiman American Gods dalam novel ini berbagai dewa-dewi dari berbagai budaya muncul dalam plot cerita dan menterbalikkan realiti duniawi sesuka hati dengan kekuatan mereka. Watak Shadow sebagai watak yang tinggal di dunia nyata menerima semua kehadiran mereka tanpa mempersoalkan raionalnya keberadaan mereka terhadap kisah dirinya.

Real-world setting

Walaupun ada elemen fantasi, kisah-kisah magic realism selalu terjadi pada dunia nyata  samaada dunia moden atau klasik. Dalam One Hundred Years of Solitude (diterjemahkan oleh Penerbit Bentang sebagai Seratus Tahun Kesunyian) Gabriel García Márquez memuatkan kisah kehidupan keluarga Arcadio Buendia dalam sebuah supernatural realm dengan dunia natural yang sangat familiar. Atau dalam Kafka on the Shores, Haruki Murakami mengisahkan sebuah cerita berlatar Jepun moden, dengan sentuhan magis iaitu hujan ikan dan kucing yang mengobrol santai dengan manusia.

Authorial reticence


Authorial reticence bermaksud "dengan sengaja tidak memberikan penjelasan lebih terperinci tentang keajaiban yang terjadi." Baik narator maupun tokoh dalam cerita tidak menganggap bahwa kejadian fantastik telah terjadi dan alur kisah tetap berlanjut dengan "presisi logika" seperti sebelum ataupun selepas kejadian tersebut. Dalam novel Kafka, Metamorphosis, suatu pagi, watak utama bermetamorfosis menjadi sejenis serangga, namun sampai akhir tak ada penjelasan ilmiah mengapa ia berubah seperti itu dan semua tokoh lain dalam cerita itu menerima saja kalau ia memang sekarang sudah menjadi serangga.

Plenitude (berlimpah-ruah)

Novel-novel magic realism selalu memiliki lapisan-lapisan terperinci yang meleret-leret. Lapisan-lapisan realiti tentang setiap watak dan kejadian yang digambarkan dalam cerita inilah yang membuatnya menjadi "marvelous real". Buakn sahaja watak utama, seekor burung beo dalam novel Love in the Time of Cholera (Gabriel García Márquez) juga memiliki deskripsi dan latar belakang lengkap tentang mengapa ia boleh berada di rumah besar itu, dari mana asalnya, apa kata-kata yang sudah dipelajarinya, dan sebagainya. Tebal  halaman digunakan untuk menceritakan secara terperinci tentang kisah si beo  sebelum mengisahkan hari kematian tuannya, Dr. Urbino.

Political critique

Dalam novel bergenre magic realism terdapat kritikan sosial terutama tentang golongan elite seperti golongan politik. Di Amerika Latin, sebenarnya dimaksud untuk menampilkan tokoh-tokoh yang diterjemahkan secara sosial dan ekonomik. Disebut 'dunia  alternatif' dalam magic realism adalah untuk membongkar sudut pandang berbeza (seperti realisme, naturalisme dan modernisme). Sebut saja The House of Spirits karangan Isabel Allende yang bersetting di Chille dan kudeta militer yang menjadi klimaks buku ini (meskipun tak pernah disebut secara tersurat) menyuarakan kenyataan pahit apabila General Pinochet menyingkirkan President Salvador Allende.

Hybridity


Alur plot novel-novel magical realism biasanya menggunakan "hybrid multiple planes of reality". Ada banyak sub cerita yang bergerak dalam rangka satu cerita. Jadi, novel seperti ini tidak bergerak mengikut kronologi. Dalam Seratus Tahun Kesunyian, penceritaannya melompat-lompat dari watak lain ke watak lain. Masing-masing dengan ceritanya sendiri. Atau dalam The Time Traveler's Wife karya Audrey Niffenegger, walaupun watak utamanya hanya Clare dan Henry, tapi kisah yang diceritakan mempunyai pelbagai latar masa yang berbeza-beza.

RINGKASAN NOVEL The Old Man and Sea

oleh: Hani Najwa Mohd Radzi

The Old Man and Sea adalah kisah perjuangan epik  seorang lelaki tua bernama Santiago yang bekerja sebagai nelayan. Beliau sangat berpengalaman dan pernah menangkap  ikan yang paling besar dalam hidupnya. Selama lapan puluh empat hari Santiago, pergi menangkap ikan di laut  tapi pulang dengan tangan kosong. Santiago dianggap sebagai nelayan tua yang malang. Oleh itu, Manolin, seorang kanak-kanak telah dilarang oleh ibu bapa untuk terus belajar dengan Santiago. Sebaliknya, Manolin dipaksa untuk meninggalkan orang tua itu dan pergi menangkap ikan bersama orang yang lebih banyak hasil tangkapannya dengan bot yang lebih bagus. Walau bagaimanapun, kanak-kanak itu terus menjaga orang tua itu dan menyambut ketibaan beliau setiap malam. Monolin membantu orang tua itu memikul gear ke pondoknya yang hampir roboh, memberi makanan pada Santiago dan membincangkan perkembangan terkini dalam besbol Amerika, terutamanya ujian wira orang tua itu, Joe DiMaggio. Santiago yakin coretan tidak produktif tidak lama lagi akan berakhir, dan dia memutuskan untuk berlayar keluar lebih jauh daripada biasa pada hari berikutnya.

Pada hari ke-85, Santiago belayar sendirian, membawa perahu kecilnya jauh ke Arus Teluk (Gulf Stream). Dia mempersiapkan kailnya dan pada tengah hari, seekor ikan besar, yang dipanggil ikan marlin telah menggigit umpannya. Umpan tersebut telah diletakkan seratus depa mendalam di dalam air. Orang tua itu segera mengcangkuk ikan itu, tetapi Santiago tidak dapat menariknya. Sebaliknya, perahu kecil Santiago yang ditarik oleh ikan itu.

Santiago mempertaruhkan bahu, belakang, dan tangannya untuk menarik ikan itu supaya tidak terlepas. Ikan menarik bot sepanjang hari, sepanjang malam selama tiga hari dtiga malam. Selama itu juga Santiago menahan tali jeratnya dengan seluruh tenaganya dengan susah payah. Walaupun letih dan berada di dalam kesakitan, Santiago merasakan kasih, empati yang mendalam dan kekaguman terhadap marlin. Kerana merlin, beliau merasa penderitaan, kekuatan dan keazaman. Santiago kerap menyebut merlin sebagai saudaranya. Dia juga memutuskan bahawa kerana martabat besar sang ikan, tak ada seorang pun yang layak untuk memakan ikan tersebut.

Pada hari ketiga perjuannya, merlin mula menunjukkan kelemahan pasa Santiago. sMaka, Santiago berjaya menarik marlin dengan dekat untuk membunuhnya dengan teras tempuling. Akhirnya merlin mati di sebelah perahu kecil itu, marlin adalah ikan yang terbesar Santiago yang pernah lihat. Berakhirlah perjuangan antara lelaki tua dan ikan yang sanat kuat bertahan. Santiago mengikat bangkai merlin di sisi perahukecilnya dan mulai belayar pulang. Walaupun Santiago teruja dengan harga yang marlin akan membawa di pasar, beliau lebih bimbang bahawa orang-orang yang akan makan ikan-ikan itu tidak layak kebesarannya.

Selama Santiago meneruskan perjalanannya pulang ke tepi laut, darah marlins meninggalkan jejak di dalam air dan menarik jerung. Ikan yang pertama menyerang marlins ialah yu mako besar,  Santiago berjaya untuk membunuh dengan tempuling. Dalam pergelutan itu, orang tua kehilangan tempuling dan menyebabkan dia tidak ada senjata lagi. Orang tua itu merakit sebuah harpun baharu dengan mengikat bilah pisaunya ke hujung sebuah dayunguntu mengusir ikan yu yang  ganas.  Ikan yu mati berturut-turut sebaik sahaja menikam mereka dengan tombak mentah . Walaupun dia membunuh beberapa jerung, semakin banyak muncul.  Pada waktu malam, ikan yu telah melahap habis seluruh bangkai marlin. Yang tinggal hanya rangka sahaja, kepala, dan ekor, tiada lagi isi berharga. Santiago berasa sangat sedih dan menghukum dirinnya sendiri kerana telah mengorbankan marlin mengorbankan lawan yang hebat dan layak beliau. Beliau tiba rumah sebelum fajar, tersandung kembali ke pondok, dan tidur yang sangat mendalam.

Pada keesokan harinya, sekelompok nelayan berkumpul di sekeliling perahu dan mereka kagum mengumpulkan sekitar bangkai rangka ikan, yang masih membidas ke bot. Mengetahui apa-apa perjuangan orang tua itu, pelancong di kafe berdekatan memerhatikan mayat marlin gergasi dan kesilapan itu untuk yu. Manolin, yang telah bimbang sakit dengan kehilangan orang tua itu, dipindahkan ke air mata apabila dia mendapati Santiago selamat di atas katil. Budak lelaki itu diperoleh orang tua beberapa kopi dan kertas setiap hari dengan markah besbol, dan jam tangan dia tidur. Apabila orang tua itu bangun, kedua-dua bersetuju untuk memancing sebagai rakan kongsi sekali lagi. Orang tua itu kembali untuk tidur dan impian impian biasa beliau singa di bermain di pantai Afrika.

PENGAJARAN

Secara ringkasnya, pengajaran atau mesej yang boleh kita ambil daripada kisah The Old Man and The Sea adalah tentang kehidupan. Dalam kehidupan janganlah kita cepat putus asa. Kita harus terus berjuag sekeras-kerasnya dan sehabis mampu untuk mencapai apa yang kita mahu. Jangan cepat menyerah dalam apa jua keadaan kita dan sekuat mana ujian. Tuhan pasti akhirkan memberikan apa yang kita mahu jika kita berusaha, terus berharap dan percaya pada diri. Jangan mempedulikan apa yang orang sekeliling berkata burus tentang kita. Ambil semua itu sebagai kekuatan untuk terus maju.