Selasa, 24 Mei 2016

OLEH: NURUL IDAYU BT MOHAMED YAACOB



Diari
M
alam itu bulan di langit bersinar dan dikelilingi oleh bintang-bintang  yang berkelipan menerangi waktu malam yang sunyi sepi. Mata Zalida belum terasa mengantuk walaupun adiknya sudah lena dibuai mimpi. Ketika itu, fikirannya bercelaru memikirkan sesuatu  perkara yang tidak dapat diungkai olehnya sendiri. Dia cuba memaksa matanya untuk tidur tetapi tidak terdaya. Sehingga sinar mentari mula memancar cahaya menerangi bumi barulah  dia dapat melelapkan matanya. Sejak dua hari lepas lagi, jiwanya kacau dan tidak setenang dulu.
“Kenapa aku jadi begini? Adakah disebabkan sebuah buku diari yang dijumpai olehnya dua hari yang lalu?” pelbagai persoalan yang timbul dalam lubuk hatinya.
 Luruh jantungnya apabila sewaktu pertama kali dia membaca isi kandungan yang di tulis oleh pemilik diari itu. Pemilik  buku diari itu telah menulis tentang keburukan dirinya. Rancangan jahat yang telah dirancang sebelum ini juga telah tercatit di dalam diari itu.
Jam loceng berdering dengan kuat sekali di tepi sudut katil. Zalida menekan punat jam loceng itu yang membingitkan telinganya. Tanpa disedari dia sudah terlewat untuk ke sekolah.
Dia tergesa-gesa bersiap untuk ke sekolah. Dia menuruni anak tangga ke tingkat bawah dengan pantas seolah-olah ada sesuatu yang mengejarnya dari belakang.
“Ida, turun elok-elok, nanti jatuh,”  kata Puan Zaleha kepada anak sulungnya.
Sebelum ke sekolah dia bersalam-salaman dengan ibunya dan mengucup kedua-dua belah pipi ibunya. Dia hanya menunggang motor Honda biasa sahaja walaupun dia boleh memandu kereta ke sekolah kerana keluarganya agak berada. Dia tidak suka bermegah dengan kemewahan yang dimiliki oleh keluarganya. Zalida telah dimarahi oleh guru kelasnya kerana sudah tiga hari berturut-turut dia datang lewat ke sekolah.
 “Kenapa ni Zalida, sejak akhir-akhir ini awak selalu datang lewat?  Awak ada masalah ke?” Betubi-tubi soalan yang diutarakan oleh guru ekonominya iaitu Cikgu Marina.
“Maaf cikgu, saya bangun lambat,” kata Zalida dengan ringkas.
Cikgu Marina cuba bertanyakan masalahnya tetapi dia tetap dengan pendiriannya. Zalida terus duduk di tempat duduknya dengan wajah yang suram. Kawan baik yang berada di sebelahnya tidak dipedulikannya.
“Kenapa dengan kau? Apa sudah terjadi. Kau kelihatan tidak bermaya,”suara Shahira mula kedengaran.
Zalida terdiam seketika tanpa ada sebarang reaksi.
 “Apa pasal kau diam sahaja?” Kedengaran suara Shahira sedikit merajuk.
“Nanti, aku bagi tahu engkau,” jawabnya ringkas.
Selepas waktu sekolah tamat, Shahira cuba membuka semula topik yang dibualkan oleh mereka pagi tadi. Zalida dan Shahira merupakan sahabat baik dari sejak kecil lagi. Segala suka dan duka mereka sentiasa berkongsi bersama. Shahira berasa sedikit kecewa dengan kawannya kerana tidak mahu berkongsi masalah dengannya. Zalida menjadi serba salah kerana tidak mahu menceritakan hal sebenarnya kepada kawan baiknya itu.
“Perlu ke aku menceritakan hal ini kepada Ira, aku takut dia risaukan aku,” fikir Zalida dalam hati.
 Zalida memberitahu kawannya bahawa dia akan menceritakan masalahnya selepas pulang dari sekolah. Shahira selalu lepak dirumah Zalida dan hubungan Shahira dengan keluarga Zalida ibarat keluarga sendiri. Walaupun keluarga Zalida kaya, mereka menjalinkan hubungan dengan setiap jiran tanpa mengira status dan pangkat. Sikap Puan Zaleha yang suka membantu jiran-jirannya ketika mengalami kesusahan menyebabkan dia disenangi oleh jiran-jiran di kawasan rumahnya.
Shahira sudah terbiasa berada di dalam rumah Zalida. Puan Zaleha menyambut Shahira dengan mesra. Dikucup dengan lembut tangan ibunya. Zalida tetap menghadiahkan senyuman manis walaupun hati sedang dirundung pilu. Memikirkan hal dunia tidak akan pernah tamat. Hanya hati yang mampu berbicara sendiri.
Zalida turut membantu ibunya menghidang lauk-pauk yang dimasak. Disusunnya pinggan di atas meja dengan rapi. Shahira membawa keluar dulang yang berisi jus oren di dalam gelas.  Mereka makan bertiga. Pelbagai topik perbicaraan yang terkeluar dari mulut masing-masing. Shahira pandai menghiburkan ibunya. Dia memandang Shahira dengan wajah yang manis.
Setelah selesai makan petang, Zalida dan Shahira naik ke bilik. Selesai menunaikan solat zohor, Zalida menceritakan perkara yang selalu bermain dalam fikirannya kepada Shahira. Kelihatan Shahira tidak sabar menunggu masalah yang bakal diberitahu oleh kawannya itu.
Shahira masih menanti. Menanti rahsia yang ingin dibuka olehnya. Dia masih terdiam. Mukanya berubah muram. Matanya mula berair. Terasa sangat berat ingin diperkatakan. Shahira mula menggengam tangannya. Hangat sekali.
Mulutnya masih berat untuk berkata-kata. Hatinya terlalu perit untuk mengingati. Tidak boleh disimpan terlalu lama. Tidak ingin menjadi sarang yang sangat berbisa di dalam hati. Perasaan yang berkeremuk harus dilepaskan.
Dia mula bangun dari katil. Shahira hanya memandang tanpa kata. Berjalan perlahan menuju ke meja belajar. Tangannya mula menarik laci meja. Dikeluarkan sebuah buku diari berwarna merah.
Shahira kelihatan kebingungan. Dia menghulurkan diari itu kepada kawannya. Shahira kelihatan kaku. Mukanya penuh persoalan. Zalida memandangnya dengan sayu.
“Kau bacalah,” lemah suaranya.
Shahira membelek-belek dengan cepat. Matanya liar meneliti isi kandungan di dalam diari itu. Kawannya masih membaca diari itu. Dia hanya memandang tanpa kata. Sudah lama diari itu menghantui dirinya. Diari itu ditutup oleh Shahira.
“Angkara siapa ini,” soalnya.
Zalida menghela nafas yang panjang. Dia hanya menggeleng kepala. Tidak tahu angkara siapa yang menyimpan dendam begitu busuk terhadapnya. Ingin sekali berdepan dengan manusia sebegini menghitung perlawanan yang ada di depan mata. Orang itu masih bermain bersembunyi dengannya. Permainan itu harus berakhir dengan cepat. Resah hatinya seorang diri.
“Aku harus mencari orang itu. Sampai ke lubang cacing,” bentaknya.
Shahira tersentap. Pertama kali melihat Zalida seperti bara api yang sedang menyala kepanasan. Dia hanya mengangguk. Tangannya dihulurkan kepada Zalida.
“Bersama kita,” katanya kepada Zalida.
Kesan bidasan rotan masih belum hilang lagi dibetisnya. Betapa peritnya apabila dia ditangkap khalwat oleh guru sekolahnya dengan lelaki tidak dikenalinya. Hatinya sebak apabila dia telah teraniaya sehingga papanya hilang kepercayaan terhadap dirinya. Nasib  ibunya sangat mempercayainya.
 “Siapa kau?” soal Zalida di dalam hati. Bibirnya tertutup ketat seolah-olah menahan rasa amarah. Tiba-tiba Zalida teringat seorang rakan kelasnya. “Mungkin Marissa Shahini?” soalnya sendirian.
 Zalida masih teringat reaksi Marissa sewaktu dia dituduh mencuri telefon bimbit guru kelasnya. Telefon tersebut dijumpai di dalam begnya. Marissa kelihatan tersenyum puas. Matanya mula terkuyu layu.
Operasi mencari pemilik buku diari itu telah pun bermula. Shahira merancang supaya cuba mencari pemilik tulisan dalam kalangan kawan-kawannya. Sewaktu semua kelas tingkatan enam digabungkan, mereka akan diberikan tugasan. Dalam fikiran Zalida hanya tertumpu kepada Marissa. Dia tidak boleh menuduh orang sebarangan. Lagipun  dia mengetahui bahawa Marissa suka bersaing dengannya semenjak  sekolah rendah lagi. Marissa selalu berada di belakang Zalida walaupun dia cuba mengatasi Zalida dengan pelbagai cara.
“Mungkin kau cemburu terhadap aku Marissa?” Bisik hatinya.
Marissa selalu memandang ke arah Zalida dengan jelingan yang tajam seolah-olah Zalida telah melakukan kesalahan besar terhadapnya.Tugasan pelajar-pelajar itu akan dikumpulkan oleh seorang wakil pelajar tingkatan enam. Zalida dan Shahira tidak melepaskan peluang yang ada untuk mencari tulisan yang sama dengan pemilik buku diari tersebut.
 “Syafiq!” panggil Zalida dari arah belakang.
Syafiq pada ketika itu leka memunggut tugasan yang diberi oleh rakan-rakannya.
“Ya,” jawab Syafiq dengan ringkas.
 “Biar la aku tolong hantar tugasan ini dekat bilik guru, lagipun aku mahu ke sana selepas ini,” kata Zalida cuba mempelawa dirinya.
“Baiklah,” tanpa banyak soal Syafiq menghulurkan ke semua tugasan-tugasan itu kepada Zalida.
Mereka berjalan menuju ke bilik guru sambil meneliti tulisan kawan-kawannya. “ Tidak ada yang sama pun tulisan ini dengan tulisan pemilik buku diari ini.” Keluh Zalida agak panjang.
Mereka berasa sedikit hampa kerana usaha untuk menjejaki tulisan pemilik buku diari itu tidak berjaya. Zalida tetap tidak berputus asa untuk mencari siapakah pemilik buku diari itu.
Zalida dan Shahira juga bertanyakan kepada rakan-rakannya sekiranya pernah  melihat seseorang yang pernah membawa diari itu. Usaha mereka juga tidak berjaya. Zalida melihat Marissa dari jauh. Ingin sahaja dia mendekati  Marissa dan bertanyakan tentang diari itu. Tindakan itu, Zalida cuba membuangnya jauh-jauh. Semangat Zalida mula luntur kerana buntu disebabkan sudah tiada rancangan untuk mencari pemilik diari tersebut. Zalida termenung keseorangan apabila memikirkan peristiwa yang amat memalukan itu yang dirancang oleh pemilik diari itu. Tiba-tiba seorang lelaki memasuki kelasnya ketika Zalida sedang mengemas buku. Lelaki itu langsung tidak dikenalinya dan merupakan pelajar luar. Dia cuba melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap Zalida. Cikgu Marina dan Cikgu Faridah datang menangkap mereka. Lamunan itu mula lenyap apabila loceng balik telah berbunyi.
Dia melakukan perancangan sendiri tanpa diketahui oleh kawannya. Selepas waktu persekolahan tamat, Zalida telah meletakkan diari itu di atas mejanya. Shahira berasa hairan dengan tindakan yang di lakukan oleh kawannya itu.
“ Kenapa kau letak  diari ni atas meja, kau mahu pemiliknya ambil macam tu sahaja ke?” Soal Shahira kerana bingung dengan tindakan kawannya.
“Ya, aku mahu tuan punya buku ini ambil buku diarinya, aku tidak mahu menyimpan lama-lama buku diari ini. Aku rasa cukuplah setakat ini masalah tentang pemilik buku diari ni,” kata Zalida panjang lebar.
 “Kau dah putus asa Ida, kau bersusah payah untuk mencari pemilik buku ini. Setakat ini  usaha kau untuk mencari pemilik buku diari?” Soal Shahira.
“ Ya,” kata Zalida pendek.
“Maafkan aku Ira kerana aku terpaksa berbohong,” jerit hati kecil Zalida.
Zalida terus keluar dari kelasnya dan Shahira menyusur dari belakangnya. Zalida merasakan rancangannya akan gagal sekiranya Shahira terus bersamanya. Dia ingin melakukan seorang diri. Masalahnya harus diselesaikan olehnya. Langkah kaki Zalida terhenti. Shahira mengangkat kening.
“Aku ingin pergi ke perpustakaan,” katanya.
“Baiklah, aku balik dahulu,” sekuntum senyuman terukir.
Zalida mula melangkah ke arah perpustakaan. Dia berjalan dengan pantas. Dipusing ke arah kelasnya kembali. Dia menaiki anak tangga dengan cepat. Peluh jatuh menitis ke muka. Nafasnya berombak kencang. Dia menarik nafas panjang. Buku diari itu masih ada di atas meja. Lega hatinya.
Matanya mula mencari tempat untuk bersembunyi. Matanya tertumpu ke sebuah almari kelasnya. Dia berlari ke arah almari itu. Badannya mula mengeluarkan peluh. Terasa lemas bersembunyi. Ditahan perasaan rimasnya.
“Kau suka bermain sembunyi-sembunyi dengan aku. Kali ini aku bermain sembunyi-sembunyi dengan kau,” pekik hatinya tanpa suara.
Dia masih menunggu pemilik diari. Terasa agak lama menunggu. Badannya mula berasa panas. Peluhnya sudah membasahi baju putih itu. Dilap peluh dengan sehelai tisu. Mungkin pemilik diari itu tidak akan datang mengambilnya. Dia tetap masih menunggu. Menunggu tanpa jemu.
Bunyi tapak kasut semakin jelas kedengaran. Bunyi itu diamatinya. Dia keluar dengan pantas dari belakang almari itu. Mulutnya terlopong. Matanya terbeliak memandang pemilik diari itu. Tak disangka-sangkakan! Hebat sungguh permainanmu. Sandiwara apakah ini. Bermain dengan api yang akan membakar diri. Sungguh hebat lakonanmu. Mengalahkan pelakon yang terkenal. Mata bundar itu mula berubah warna. Wajah putih itu mula berubah reaksi.
Pemilik diari itu memandangnya dengan kaku. Jantungnya berdegup dengan kencang dan bagaikan ditusuk dengan duri yang amat tajam. Terasa begitu pedih sekali dan satu penyeksaan kepada jiwa dan raganya. Tetapi hakikatnya, semua itu realiti. Dia bagaikan tidak percaya melihat semua itu. Adakah aku sedang bermimpi. 
Dia masih tidak percaya perbuatan itu dilakukan oleh kawannya sendiri. Kawan yang dia percayakan selama ini sanggup menikamnya dari belakang. Bahkan berpura-pura di depannya meneruskan permainan itu.
“Kau!” Keras suaranya
“ Ya! Ini semua kerja aku,” bentaknya kuat.
“Kenapa kau sanggup lakukan semua ini. Apa dosa aku terhadap kau. Sehingga kau sanggup jadi gunting dalam lipatan. Kesalahan apakah yang membuatkan kau hilang rasa simpati,” perlahan nada suara Zalida.
“Ah! kau bertanyakan aku apa salah engkau kepada aku? Kau tidak tahu bagaimana perasaan seseorang apabila cinta pertamanya ditolak. Apa yang kau mahu semua kau dapat Ida. Aku berasa sangat cemburu melihat kebahagiaan kau. Kau pandai dan cantik. Semua orang sayang kepada kau. Aku tidak ada semua itu. Keluarga aku miskin dan tak berharta. Tetapi berani kau rampas orang yang aku suka. Aku semakin benci kau Ida. Semua ini salah kau Zalida!” Jerit Shahira.
 “Ira, sedarlah Ira. Aku ikhlas berkawan dengan kau dan aku tidak pandang semua itu. Aku kawan dengan kau sebab hati kau bersih. Mungkin sebab cinta menyebabkan hati kau buta. Tak perlu kau merendahkan diri kau serendah itu. Bagi aku, kau ada hati besar cukup bagi aku untuk menyayangi kau sebagai seorang kawan. Tak perlu kau hancur nilai persahabatan ini yang sekian lama terbina kerana cinta seorang lelaki yang tidak pasti,” pujuk Zalida lembut.
“Aku tidak kisah semua itu. Sekarang ini. Hati aku bagaikan dicincang-cincang. Betapa sakitnya hati aku. Kenapa kau kawan aku sendiri tidak mahu melihat aku bahagia?” Soalnya dengan kasar.
“Ira, kau jangan berfikir seperti itu,” Zalida cuba memeluk kawannya tetapi ditepis olehnya.
 “Kalau sebab cintalah persahabatan kita terputus aku tidak merelakan. Aku tidak mahu mengalami perasaan cinta kalau cinta boleh menyebabkan kita lupa daratan dan lupa erti nilai sebuah persahabatan. Aku lebih rela memilih sebuah persahabatan dari memilih percintaan. Bagi aku nilai sahabat amat berharga  bagaikan  sebutir mutiara yang tidak pernah hilang sinarnya. Kalau kita hilang cinta kita boleh mendapatkan semula cinta sejati, tapi kalau kita kehilangan sahabat kita susah mendapat sahabat sejati Ira,” kata Zalida cuba menyedarkan kawan baiknya.
Air mata Shahira mula membasahi pipinya. Dia berasa sangat malu dengan perbuatannya terhadap Zalida. Shahira masih terdiam.
 “Ira, bagi aku kaulah sahabat sejati aku, aku tidak simpan sekumit dendam pun terhadap kau. Kau dah banyak mengajar aku erti sebuah persahabatan,” kata Zalida dengan lembut.
Shahira berdiri dengan kaku. Mukanya mula menunduk ke lantai. Semakin banyak titisan-titisan jernih jatuh mengurai. Dia mula berlari menuju ke pintu. Dia berlari semahu-mahu yang boleh. Zalida tersentap! Dia mula mengikuti langkah kawannya.
Dia memanggil nama kawannya berulang-ulang kali. Shahira masih berlari dengan laju. Dia mula sempuk. Ditahan nafasnya. Shahira melangkah menuruni anak tangga dengan laju. Dia tergelincir sedikit dari tangga.
Zalida sempat memegang tangan kawannya. Malang tidak berbau, Zalida tidak dapat mengimbangi tubuhnya lalu kedua-dua mereka terjatuh dari tangga itu. Kedua-dua mereka jatuh bergolek. Badannya terasa sangat sakit. Kepalanya terhantuk pada tiang tangga. Pedih sekali. Mukanya berkerut menahan kesakitan. Berpusing-pusing dunia. Darah mula mengalir keluar.
Shahira mula berasa cemas. Digerakkan kawannya berulang-ulang kali. Air matanya mula mengalir laju. Satu penyesalan telah terbit di dalam hati. Dia mula memeluk kawannya dengan erat.
Pandangan mata sedikit kabur. Dia cuba menggagahkan mata untuk melihat. Kesakitan di kepalanya masih terasa. Badannya terasa sangat lemah. Mukanya pucat. Tangannya sejuk. Berkemungkinan sudah banyak kehilangan darah.
Dia dapat rasakan tangan hangat memegang erat tangannya. Dia tersenyum. Shahira memandangnya dengan perasaan gembira. Air mata masih bertakung di kelopak mata kawannya. “Sudah banyak dia menangis kerana aku,” bisiknya
“Ira,” panggilnya dengan lemah.
Semakin kuat tangisan kawannya. Dia mengenggam tangan kawannya dengan kuat. Tidak ingin melihat kawannya diselubungi rasa bersalah. Dia masih menggenggam dengan kuat.
Zalida mula memerhati keadaan sekeliling. Ibu bapa dan adik lelaki berdiri tegak berdekatan dengannya. Mata mereka sudah bengkak di basahi air mata. Begitu sayang sekali mereka terhadapnya.
“Janganlah menangis. Ida sudah baik,” katanya sambil mengukir senyuman di bibir pucat itu.
 “Alhamdulillah, Ida dah sedar,” kata Puan Zaleha sambil mengelap air matanya.
“Ida sudah baik ke nak, ” kata Tuan Said kepada anaknya sambil memeluk  erat anak gadisnya itu.
 “Ida, sudah baik,” kata Zalida dengan lembut.
“Maafkan aku Ida. Maafkan aku. Aku berasa sangat bersalah.” Pelukan Shahira semakin kuat.
Tangannya mengusap lembut bahu rakannya. Mereka berpelukan begitu erat. Lahir sebuah persahabatan yang begitu ikhlas setelah persahabatan dijalin sebelum ini penuh dengan kepalsuan.
Tersedu-sedan kedengaran suara tangisan insan yang bergelar sahabat. Shahira menangis dalam pelukannya. Terasa amat selesa. Zalida tersenyum gembira kerana kawannya sudah sedar dari kesilapan. Siapalah dia untuk tidak memberi kemaafan kepada seorang manusia. Sedangkan Allah S.W.T sedia memberi keampunan kepada setiap hambanya.
Timbul penyesalan di sanubarinya apabila berburuk sangka dengan orang lain. Sesal kemudian tidak ada guna setelah nasi menjadi bubur. Tidak disangka hari panas terik rupanya hujan di siang hari. Air mata penyesalan jatuh menitis kerana hati terlalu sibuk membuat andaian terburu-buru. Tanpa menyelidik dengan terperinci!




                                                                    

KATA-KATA HIKMAH



Oleh: Nurul Idayu Bt Mohamed Yaacob







Isnin, 9 Mei 2016

Kelebihan dan Kelemahan Teori Struktulisme

oleh: Hani Najwa

Kelebihan Teori Struktulisme

Kelebihan pendekatan Strukuralisme yang dapat dikesan adalah ianya merupakan langkah pembukaan dasar untuk teori-teori lain. Strukutalisme penting bagi perkembangan teori mutakhir sastera (Umar Junus, 1985, 1988b). Sikap pascastrukturalis tidak akan wujud tanpa strukturalisme, kata Harari (1979a: 30). Dikatanya juga, keragaman pandangan strukturalisme dan sifatnya sebagai gerakan transformasi, telah menempa padat cabang ilmu yang berkenaan atau dapat dihubuangkan dengan penyertaan Robert Young (1981a: 1) tentang pascastrukturalisme yang dibicarakan metod-metod dan asumsi-asumsi strukturalisme. Maka, sesuai dengan judul bab satu Deconstruction: Theory and Practice (Noritis,1982), “Roots: Structuralism and New Criticism”. Penyataan Selden (1989:76) pula juga tercermin pada istillah post-strukturalisme, yang kadang-kadang dikatakan latar strukturalisme. Ini juga dapat dilanjutkan dengan tulisan Dieter Freundlieb (1989) dan Karl Kroeber (1984), atau dapat dihubungkan dengan modenisme seperti disarankan oleh Ankersmit (1989) dan Mark Poster (1989). Strukturalisme dapat dianggap titik pisah, memisahkan daripada teori sesudahnya yang arahnya berlawanan. Titik mula, yang memungkinkan hadir teori mutakhir. Mempersiapkan asas perkembangannya. Sebagai titik mula, terpisah daripada formalisme. Hal inilah terbuktilah strukturalisme merupakan pembukaan langkah kepada teori-teori baharu seperti pascastrukturalisme dan dekonstruksionisme yang tidak lepas daripada teori strukturalisme.

Kajian sastera boleh dianalisis, dibuktikan, dipastikan unsur-unsurnya dan boleh dipercayai. Teori strukturalisme merupakan salah satu teori sastera yang teknik analsisnya secara struktural. Teori ini melihat karya sastera sebagai sebuah struktur yang bermakna otonom. Makna-makna itu wujud kerana berhubung dengan unsurnya. Secara ringkasnya, bahasa yang digunakan dalam karya sastera tidak ada bezanya dengan bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi sehari-hari. Perbezaan itu akan kelihatan apabila dimasukkan fungsi dari sebuah strukturnya. Fungsi ini akan memberi estetika tersendiri pada bahasa itu sehingga akan nampak bahawa bahasa itu adalah bahasa karya sastera yang diciptakan. Dengan kata lain, yang membentuk karya sastera itu adalah unsur yang berada di dalam karya sastra itu. Menurut Wellek dan Warren (1990: 140 dalam Wahyuningtyas, 2011: 2) karya sastera merupakan sebuah struktur yang kompleks. Struktur yang dimaksudkan ialah unsur-unsur di dalam teks yang saling berhubungan. Unsur tersebut akan wujud menerusi idea seperti tema, persoalan, plot, latar, nilai dan lain-lain. Yang jelas penilaian yang diberikan dilihat dari sejauh mana kekuatan atau nilai karya sastera tersebut berdasarkan keharmonsan unsur-unsur pembentuknya. Dalam unsur-unsur tersebut ada curahan emosi atau perasaan, sehingga karya sastera itu nampak hidup. Oleh itu, unsur-unsur tersebut tidak boleh berdiri sendiri kerana tidak akan ada makna. satu analisis sistematik strukturalisme. Bentuk dan struktur susunan karya sastera lebih bernilai daripada makna yang ingin disampaikan oleh sebuah teks.

Perkembangan teori Strukturalisme membawa kajian sastera ke arah yang lebih abstrak. Ianya membebaskan orang daripada terikat kaku kepada sistem. Orang bergerak dengan lebih bebas berbanding bekerja dengan motif. Oleh kerana inti motif ialah tindakan, orang hanya perlu menumpukan tindakan yang akan memudahkan kerja. Hal ini lain dengan Mytheme  yang tidak mempunyai ciri formal. Mytheme digariskan oleh Levi Strauss yang membicarakan mytheme sama dengan phoneme, membezakan erti. Yang kita dengar/ lihat ialah myth, yang “terlihat”. Seorang pengkaji mesti mendapatkan mytheme yang dalamannya. Kejayaan seseorang yang menemukan mytheme sesuatu cerita bergantung kepada kepintarannya, ditentukan oleh factor subjektif, sesuai dengan anggapan Raymond Boudon tentang struktur yang kabur, dan keunggulan strukturalisme bukan disebabkan metodnya (1971: 1) mytheme yang ditemukan oleh seseorang pengkaji mungkin lain daripada yang ditemui oleh pengkaji lain. Ini ditemui dalam kajian Levi Strauss. Namun, mungkin ada kesan lain, malah mungkin bertentangan, kerana ada yang hanya meniru cara bekerja Levi Strauss. Pencarian mytheme oleh Levi Strauss berbeza dengan formalisme yang bergerak dengan konsep konkrit – watak, alur, motif, gaya - dan tugas pengkaji hanya menemukannya dalam buku. Dengan begitu, cara kerja Levi Strauss dengan strukturalisme hakikat kedua (Umar Junus, 1988b: 14-19), misalnya Goldman.

Kelebihan teori strukturalisme seterusnya yang dapat dikesan ialah membuka pelbagai interpretasi karya . Kejayaan seorang menemukan tema dan persoalan sesebuah karya bergantung kepada kebijaksanaanya. Namun, jika seseorang pengkaji mengajukan penemuan mytheme yang berlainan atau bertentangan dengan pengkaji lain, ianya boleh diterima. Tetapi mytheme yang bertentangan perlu hadir dengan argumentasi yang meyakinkan sehingga orang tidak mungkin mengatakan mytheme itu tidak kukuh. Ini perlu diseratai dengan persoalan lain. Kita tidak mungkin menyalahkan seseorang kerana mempunyai kesimpulan lain dengan sesuatu cerita dan ini merupakan fenomena biasa dalam sejarah sastera. Reaksi pembaca suatu masa tidak perlu sama dengan reaksi pembaca sebelum dan sesudahya. Ini ditonjolkan oleh teori resepsi sastera atau reaksi pembaca yang dianggap dipelopori oleh Hans Robert Jauss dan Wolfgang Iser (Umar Junus, 1985). Malah, pembacaan suatu karya oleh seseorang pada dua masa berbeza mungkin melahirkan interpretasi yang berbeza.


Kelemahan atau Kekurangan Teori Strukturalisme  

Karya sastera diasingkan dari konteks historis iaitu dilepaskan dari sejarahnya. Teori Strukturalisme pengkajian maknanya menekankan pada karya sastera itu sendiri. Makna yang murni dan jujur adalah makna yang sebenar-benarnya sebuah karya sasetra. Bukan terkait dengan emosi pengarang ketika menciptakannya atau pembaca dalam memahami keterkaitan ceritanya. Strukturalisme adalah teori yang model analisisnya secara struktural. Teori formalisme ini lebih berfokus pada penggunaan bahasa sastera. Bahasa digunakan untuk berkomunikasi tetapi dalam bidang sastera fungsi bahasa berlainan iaitu untuk mewujudkan pandangan atau persepsi yang berlainan daripada yang biasa. Namun hal itu telah menjadikan karya sastera lepas dari hakikatnya. Teori ini bersifat otonom dalam hal pemaknaannya. Berdiri sendiri tanpa memperhatikan aspek sosiologis ataupun konteks sosial sejarahnya. Pada hakikatnya sebuah karya berhubungan dengan karya yang lainnya. Dengan kata lain ada perbandingan latar belakang sejarah antara teks satu dengan teks yang lain. Menurut Teori Intertekstual, tidak ada  sebuah teks pun yang sungguh-sungguh mandiri, dalam erti bahawa penciptaan dan pembacaannya tidak dapat dilakukan tanpa adanya teks-teks lain. (A Teeuw, 1991:145)  Karya sastera tidak dapat dilepaskan dari unsur-unsur yang berada di luar teksnya karana karya sastera bukanlah sesuatu yang bersifat otonom iaitu keadaan lepas dari lingkungan sosialnya dan objektif. Pernyataan tersebut telah membuat teori struktural lemah dalam hal analisisnya.

Kekurangan teori Strukturalisme seterusnya adalah tidak berusaha menemukan pengarang dan latar belakang karya sastera. Ada perkembangan strukturalisme dirangsang oleh formalise Rusia, terutama Vladimir Propp (1972) mengembangkan sistematik kajian cerita rakyat. Menurutnya, satu cerita terdiri daripada motif-motif yang unsur utamanya fungsi. Orang akan dapat mempelajari cerita berdasarkan unsur pembentukannya yang lebih kecil. Tidak seperti formalisme, Seorang seniman dianggap sebagai ketua atau pembantu teknik. Mereka cuba mengasaskan satu kepakaran menulis dari perspektif teknikal. Prop menumpukan kepada cerita rakyat yang sama mitosnya dengan  Indian Amerika yagng dikaji oleh Levi Strauss (1972) yang merupakan tokoh strukturalisme. Orang tidak akan berusaha menemukan pengarang cerita rakyat kerana memang dianggap tidak dikenali. Cerita rakyat tidak pernah meletakkan nama pengarang. Malah dianggap tidak ada pengarang dan milik sesipa sahaja. Hal ini dapat dihubungkan dengan keterangan Fouvault (1981: 58) tentang banyak wacana yang hidup tanpa pengarang. Suatu cerita yang dianggap mandiri, bebas daripada pengarang. Kerana itu mereka dapat mengembangkan sistematik yang membebaskan karya daripada pengarang, yang mencirikan formalis dan strukturalisme. Orang juga dapat mengabaikan factor keindahan, kerana unsur utama bukan keindahan, tetapi cerita.   


Strukturalisme mengabaikan adanya pengarang sebagai pemberi makna dan pencetus idea. Menurut A. Teeuw dalam bukunya yang berjudul Sastra dan Ilmu Sastra menyatakan bahwa analisis struktural bertujuan untuk membongkar dan memaparkan unsur-unsur dalam teks secara keseluruhan agar mendapatkan makna yang menyeluruh. (1991:135) Berdasarkan pernyataan tersebut, strukturalisme merungkai satu per satu unsur-unsur yang membangunkan karya sastera tersebut. Unsur-unsur tersebut kemudian dihubungkan sehingga memperoleh makna yang jelas. Strukturalisme tidak memandang pengarang dan pembaca sebagai pemberi makna sebuah karya sastera. Malah, menurut strukturalisme, karya sastra bukan merupakan ungkapan batin seorang pengarang atau suatu bentuk penerimaan pembaca. Karya sastra merupakan satu struktur yang bermakna yang membangun dirinya sendiri dengan mengabaikan pengarang sebagai pemberi makna. cara makna yang ingin disampaikan oleh pengarang lebih penting daripada apa yang ingin disampaikan. Pendekatan ini menganggap pengarang tidak berkuasa menentukan mesej yang disampaikan oleh karyanya kerana kuasa pemaknaan terletak pada sistem universal.

Kebijaksanaan Perlambangan Pantun Perlambangan Alam Dalam Pantun
Oleh: Hani Najwa Radzi

Pantun merupakan pencapaian terindah yang tertinggi dalam seni. Hampir keseluruhan pantun Melayu menggunakan perlambangan flora dan fauna sebagai kombinasi dan organisasi yang harmoni pada bunyi. Perlambangan alam flora dan fauna ini sering muncul dalam pembayang pantun. Perlambangan flora dan fauna sebenarnya adalah mewakili ‘world view’ masyarakat melayu. Hal ini kerana, pada zaman dahulu masayarakat Melayu bekerja yang berkaitan dengan alam flora dan fauna seperti seorang petani, nelayan dan pemburu. Oleh itu, banyak perlambangan flora dan fauna digunakan oleh Masyarakat Melayu ini untuk mel-ambangkan, mengkritik, menasihati tindak-tanduk seseorang.

Perlambangan Flora
Perlambangan flora sememangnya digunakan secara meluas dalam menghasilkan pan-tun. Alam realiti ini memainkan peranan dalam penggubahan sesebuah pantun. Contoh pantun adalah seperti di bawah:

Hari ini menugal jagung,
Hari esok menugal serai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai.

Batang selasih permainan budak,
Berdaun sehelai dimakan kuda;
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga.

Berdasarkan pantun rangkap pertama di atas menjelaskan bentuk fizikal jagung yang isinya atau bijinya tumbuh rapat-rapat menggambarkan keeratan, perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat sesuai dengan budaya ‘berkampung’ itu. Begitu juga bentuk fizikal serai yang yang ba-tang serai itu tumbuh bercabang namun masih dalam rumpun yang sama. Kaitannya dengan cerai dalam erti kata bukan berpisah tetapi membuat kerja masing-masing,

Berdasarkan pantun rangkap kedua, keadaan itu menjelaskan ‘batang selasih’ yang menjadi ‘permainan budak’. Batang selasih itu ber-daun sehelai akibat ‘dimakan kuda’ yang akan tum-buh kembali. Halini dikaitkan dengan ‘bercerai kasih’ yang ‘bertalak tidak’. Kaitannya ‘seribu tahun’ akan ‘kembali juga’ ini membawa maksud perpisahan atau perceraian dalam kehidupan akhirnya akan kembali bertemu dan bersatu semula.

 Contoh yang serterusnya adalah seperti di bawah:

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Tanam serai tanam halia,
Tanam Juga pokok sengkuang;
Orang berbudi disanjung mulia,
Ke mana pergi tiada terbuang.

Unsur alam yang terdapat dalam rangkap pertama pantun ini menggambarkan keindahan alam yang dilihat iaitu ‘Pulau Pandan jauh ke ten-gah laut’. Digambarkan juga pemandangan ‘Gunung Daik bercabag tiga’. Kesayuan dan kesedihan dikaitkan dengan jelas apabila matinya seseorang anak Adam itu hanya budi yang baik untuk dikenang, yang juga dapat ditakrifkan sebagai amal jariah iaitu melambangkan pengetahuan perasaan dan pemikiran orang Melayu tentang budi.

Dalam rangkap kedua, pencipta pantun melihat kerajinan orang Melayu yang menanam ‘serai’ dan ‘halia’, kehidupannya berumpun dan bersatu. Begitu juga dengan pokok ‘sengkuang’ yang dilihat berguna dalam kehidupan. Hal ini dikaitkan dengan seseorang yang berbudi seperti ‘serai’, ‘halia’ dan ‘sengkuang’ yang berguna seta hidup berumpun. Kemana sekalipun mereka pergi atau merantau tidak akan terbuang atau terpinggir. Ini jelas sifat murni orang Melayu yang hidup penuh muafakat dan bersatu padau dalam masyarakat

Contoh perlambangan fauna.

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri.

Melalui pembayang pantun diatas, menjelaskan bahagian-bahagian alam dengan padanan bagi situasi atau pengalaman yang dilihatnya. Pencipta pantun menggunakan pembayang ‘ikan senohong’, ‘gelama’ dan ‘ikan duri’ iaitu ikan laut yang buruk sifatnya dengan perbuatan buruk iaitu berbohong. Begitu juga ‘ikan duri’ menggambarkan ikan yang berbahaya dan memudaratkan iaitu dikaitkan dengan perbuatan mencuri. Pemikiran akal budi orang Melayu tidak mahu anaknya bercakap bohong dan mencuri. Melalui pantun ini kita dapat lihat pengkarya mengguanakan pelbagai jenis ikan yang memberi gambaran Melayu sering sejajar dengn idea dan gambaran. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa betapa bijaknya masyarakat Melayu dahulu kerana dapat mengkaitkan ikan untuk menyampaikan mesej.

Contoh yang seterusnya:

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

Dalam pemerhatian orang Melayu, jika banyak ‘udang’ yang dapat ditangkap, mestilah banyak ‘garam’ digunakan untuk mengelakkannn-yadaridapa berbau busuk. Begitu juga dengan sifat manusiajiaka banyak orang, maka banyaklah ragam dan perangainya. Yang menariknya adalah perbandingan yang digunakan antara ‘udang’ dengan ‘orang’, ‘garam’ dengan ‘ragam’.
Contoh pantun seterusnya yang berkai-tan dengan alam fauna.

Jemur padi di tanah padang,
Anak ayam disambar helang;
Apa malang nasibnya badan,
Burung di tangan disambar orang.

Pantun Nasib di atas tersirat akal budi di dalamnya tentang nasib malang jika tidak berhati-hati menggunakan akal fikiran. Perhatikan pembayang perbuatan ‘jemur padi tanah padang’ dan ‘anak ayam yang mungkin memakan padi disambar helang’. Begitulah dengan ‘burung’ yang diibaratkan sebagai kekasih atau wanita yang disayangi dirampas orang. Kaitan yang tersirat agar kita berhati-hati dan menjaga dengan rapi sesuatu yang kita sayangi.


Banyak unsur perlambangan alam flora dan fauna dalam pantun sebagai pembayang yang biasa dalam kehidupan seharian orang Melayu zaman dahulu dan kini. Dalam menghasilkan pembayang, pengkarya menggunakan pelbagai jenis ikan, haiwan ternakan dan tumbuh-tumbuhan untuk memberi gambaran pemikiran Melayu sentis seiring dan sejajar denga idea dan gambaran. Semua ini mempunyai kaitan dalam kehidupan dan budaya orang Melayu bagi pemahaman masyarakat akan datang.

Isnin, 25 April 2016

KALUMPANG
oleh: Norlaila Binti Baharuddin

   Sebelum teknologi pembuatan perkakas dapur daripada pelbagai bahan seperti plastik, kaca, seramik, keluli dan sebagainya wujud masyarakat Bisaya di daerah Beaufort sudahpun mempunyai teknologi perkakas dapur. Masyarakat Bisaya mencipta perkakasan dapur daripada kayu. Alat yang dimaksudkan ialah sejenis mangkuk besar yang dinamakan kalumpang.  
   Masyarakat Bisaya amat menghormati peralatan dapur sebagai sebahagian daripada punca rezeki di dalam sesebuah rumah. Terdapat pepatah yang sering diungkapkan oleh orang tua-tua berkaitan kalumpang iaitu Notingkouban do kalumpang yang bermaksud seseorang yang tidak suka bergaul dengan orang lain.
  Kalumpang lazimnya digunakan untuk memasak sagu yang dinamakan ambuyat. Bancuhan sagu yang agak likat akan dituang dengan air panas dalam kalumpang untuk menghasilkan ambuyat yang sedia dimakan dengan mencecah jeruk bambangan.
     Kalumpang ialah sebuah mangkuk besar yang berketinggian kira-kira 25 sentimeter dan berketebalan tiga sentimeter. Sementara luas permukaanya bergaris lintang 60 sentimeter. Saiz kalumpang tidak terbatas kepada ukuran yang dinyatakan, tetapi bergantung pada cita rasa pembuatnya.
    Kalumpang diperbuat daripada kayu keras seperti merbau, batang nangka, batang durian dan sebagainya. Batang kayu yang sudah ditebang akan dibelah untuk mendapatkan asas pembuatan sesebuah kalumpang. Alat yang digunakan untuk membuat kalumpang antaranya termasuklah beliung, kapak, tali pelarik bulatan, kertas pasir, pisau dan pahat.
     Menarah kalumpang memerlukan kemahiran tertentu agar mutu pembuatan kalumpang terjamin dan tahan apabila dihgunakan. Kerja menarah mula dilakukan mengikut bulatan bagi membentuk kalumpang. Kerja menarah peringkat awal akan dilakukan di dalam pondok. Kalumpang yang terbentuk akan dibawa ke rumah untuk kerja-kerja penghalusan. Pembuat kalumpang yang berpengalaman akan mencari bahagian  batang yang mempunyai jalinan urat kayu yang sesuai. Jalinan urat kayu yang berserabut akan menyebabkan kalumpang agar sukar dibentuk dan bentuk bulatannya juga tidak seimbang. Pada permulaannya, lakaran bulatan akan dibuat di atas permukaan belahan kayu. Besar bulatan bergantung pada ukuran kalumpang yang dikehendaki oleh pembuat kalumpang.
    Sebuah kalumpang akan mengambil masa sebulan untuk disiapkan, bergantung pada jenis kayu yang dipilih. Kayu yang agak keras seperti merbau mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Oleh hal demikian, pembuatnya perlu berhati-hati agar struktur bulatannya tidak retak.
    Pembuat kalumpang juga perlu mematuhi beberapa pantang larang ketika membuat kalumpang. Antara pantang larang ketika membuat kalumpang ialah kaum wanita tidak boleh melangkahi batang kayu yang digunakan. Tindakan ini dipercayai akan menyebabkan binaan kalumpang terbelah dua semasa proses pembuatannya. Kalumpang yang sudah siap juga tidak boleh direndam di dalam sungai. Tindakan ini dipercayai boleh menyebabkan kejadian banjir besar yang berpunca dari sungai berkenaan.

      Pada hari ini, penggunaan kalumpang untuk memasak ambuyat tidak lagi popular. Hal ini disebabkan pemasakan ambuyat boleh dibuat dengan menggunakan pelbagai pekakas masak yang lain seperti mangkuk plastik, kaca, seramik dan sebagainya.