Isnin, 25 April 2016

KALUMPANG
oleh: Norlaila Binti Baharuddin

   Sebelum teknologi pembuatan perkakas dapur daripada pelbagai bahan seperti plastik, kaca, seramik, keluli dan sebagainya wujud masyarakat Bisaya di daerah Beaufort sudahpun mempunyai teknologi perkakas dapur. Masyarakat Bisaya mencipta perkakasan dapur daripada kayu. Alat yang dimaksudkan ialah sejenis mangkuk besar yang dinamakan kalumpang.  
   Masyarakat Bisaya amat menghormati peralatan dapur sebagai sebahagian daripada punca rezeki di dalam sesebuah rumah. Terdapat pepatah yang sering diungkapkan oleh orang tua-tua berkaitan kalumpang iaitu Notingkouban do kalumpang yang bermaksud seseorang yang tidak suka bergaul dengan orang lain.
  Kalumpang lazimnya digunakan untuk memasak sagu yang dinamakan ambuyat. Bancuhan sagu yang agak likat akan dituang dengan air panas dalam kalumpang untuk menghasilkan ambuyat yang sedia dimakan dengan mencecah jeruk bambangan.
     Kalumpang ialah sebuah mangkuk besar yang berketinggian kira-kira 25 sentimeter dan berketebalan tiga sentimeter. Sementara luas permukaanya bergaris lintang 60 sentimeter. Saiz kalumpang tidak terbatas kepada ukuran yang dinyatakan, tetapi bergantung pada cita rasa pembuatnya.
    Kalumpang diperbuat daripada kayu keras seperti merbau, batang nangka, batang durian dan sebagainya. Batang kayu yang sudah ditebang akan dibelah untuk mendapatkan asas pembuatan sesebuah kalumpang. Alat yang digunakan untuk membuat kalumpang antaranya termasuklah beliung, kapak, tali pelarik bulatan, kertas pasir, pisau dan pahat.
     Menarah kalumpang memerlukan kemahiran tertentu agar mutu pembuatan kalumpang terjamin dan tahan apabila dihgunakan. Kerja menarah mula dilakukan mengikut bulatan bagi membentuk kalumpang. Kerja menarah peringkat awal akan dilakukan di dalam pondok. Kalumpang yang terbentuk akan dibawa ke rumah untuk kerja-kerja penghalusan. Pembuat kalumpang yang berpengalaman akan mencari bahagian  batang yang mempunyai jalinan urat kayu yang sesuai. Jalinan urat kayu yang berserabut akan menyebabkan kalumpang agar sukar dibentuk dan bentuk bulatannya juga tidak seimbang. Pada permulaannya, lakaran bulatan akan dibuat di atas permukaan belahan kayu. Besar bulatan bergantung pada ukuran kalumpang yang dikehendaki oleh pembuat kalumpang.
    Sebuah kalumpang akan mengambil masa sebulan untuk disiapkan, bergantung pada jenis kayu yang dipilih. Kayu yang agak keras seperti merbau mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Oleh hal demikian, pembuatnya perlu berhati-hati agar struktur bulatannya tidak retak.
    Pembuat kalumpang juga perlu mematuhi beberapa pantang larang ketika membuat kalumpang. Antara pantang larang ketika membuat kalumpang ialah kaum wanita tidak boleh melangkahi batang kayu yang digunakan. Tindakan ini dipercayai akan menyebabkan binaan kalumpang terbelah dua semasa proses pembuatannya. Kalumpang yang sudah siap juga tidak boleh direndam di dalam sungai. Tindakan ini dipercayai boleh menyebabkan kejadian banjir besar yang berpunca dari sungai berkenaan.

      Pada hari ini, penggunaan kalumpang untuk memasak ambuyat tidak lagi popular. Hal ini disebabkan pemasakan ambuyat boleh dibuat dengan menggunakan pelbagai pekakas masak yang lain seperti mangkuk plastik, kaca, seramik dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan