KALUMPANG
oleh: Norlaila Binti Baharuddin
Sebelum
teknologi pembuatan perkakas dapur daripada pelbagai bahan seperti plastik,
kaca, seramik, keluli dan sebagainya wujud masyarakat Bisaya di daerah Beaufort
sudahpun mempunyai teknologi perkakas dapur. Masyarakat Bisaya mencipta perkakasan
dapur daripada kayu. Alat yang dimaksudkan ialah sejenis mangkuk besar yang
dinamakan kalumpang.
Masyarakat Bisaya amat menghormati
peralatan dapur sebagai sebahagian daripada punca rezeki di dalam sesebuah
rumah. Terdapat pepatah yang sering diungkapkan oleh orang tua-tua berkaitan
kalumpang iaitu Notingkouban do kalumpang
yang bermaksud seseorang yang tidak suka bergaul dengan orang lain.
Kalumpang
lazimnya digunakan untuk memasak sagu yang dinamakan ambuyat. Bancuhan sagu
yang agak likat akan dituang dengan air panas dalam kalumpang untuk
menghasilkan ambuyat yang sedia
dimakan dengan mencecah jeruk bambangan.
Kalumpang
ialah sebuah mangkuk besar yang berketinggian kira-kira 25 sentimeter dan
berketebalan tiga sentimeter. Sementara luas permukaanya bergaris lintang 60
sentimeter. Saiz kalumpang tidak
terbatas kepada ukuran yang dinyatakan, tetapi bergantung pada cita rasa
pembuatnya.
Kalumpang
diperbuat daripada kayu keras seperti merbau, batang nangka, batang durian dan sebagainya.
Batang kayu yang sudah ditebang akan dibelah untuk mendapatkan asas pembuatan
sesebuah kalumpang. Alat yang
digunakan untuk membuat kalumpang antaranya termasuklah beliung, kapak, tali
pelarik bulatan, kertas pasir, pisau dan pahat.
Menarah kalumpang memerlukan kemahiran tertentu agar mutu pembuatan kalumpang terjamin dan tahan apabila
dihgunakan. Kerja menarah mula dilakukan mengikut bulatan bagi membentuk kalumpang. Kerja menarah peringkat awal
akan dilakukan di dalam pondok. Kalumpang
yang terbentuk akan dibawa ke rumah untuk kerja-kerja penghalusan. Pembuat kalumpang yang berpengalaman akan
mencari bahagian batang yang mempunyai
jalinan urat kayu yang sesuai. Jalinan urat kayu yang berserabut akan
menyebabkan kalumpang agar sukar
dibentuk dan bentuk bulatannya juga tidak seimbang. Pada permulaannya, lakaran
bulatan akan dibuat di atas permukaan belahan kayu. Besar bulatan bergantung
pada ukuran kalumpang yang
dikehendaki oleh pembuat kalumpang.
Sebuah
kalumpang akan mengambil masa sebulan untuk disiapkan, bergantung pada
jenis kayu yang dipilih. Kayu yang agak keras seperti merbau mengambil masa
yang lama untuk disiapkan. Oleh hal demikian, pembuatnya perlu berhati-hati
agar struktur bulatannya tidak retak.
Pembuat kalumpang juga perlu mematuhi beberapa pantang larang ketika
membuat kalumpang. Antara pantang
larang ketika membuat kalumpang ialah
kaum wanita tidak boleh melangkahi batang kayu yang digunakan. Tindakan ini
dipercayai akan menyebabkan binaan kalumpang
terbelah dua semasa proses pembuatannya. Kalumpang
yang sudah siap juga tidak boleh direndam di dalam sungai. Tindakan ini
dipercayai boleh menyebabkan kejadian banjir besar yang berpunca dari sungai
berkenaan.
Pada hari ini, penggunaan kalumpang untuk memasak ambuyat tidak lagi popular. Hal ini disebabkan pemasakan ambuyat boleh dibuat dengan menggunakan pelbagai pekakas masak yang lain seperti mangkuk plastik, kaca, seramik dan sebagainya.